Hantaran merupakan salah satu budaya dalam masyarakat melayu yang penting lagi-lagi bagi orang tua yang masih mengikut adat resam sebagai sebuah tuntutan dalam sebuah perkahwinan. Tidaklah wajib untuk bertukar hantaran tetapi tidak rasa cukup lengkaplah jika sesebuah adat itu tidak diikuti, apa pula orang kata jika tidak bertukar hantaran kan?
Apa itu Hantaran?
Budaya bertukar hantaran merupakan amalan sejak turun-menurun yang sudah lama dilakukan sebagai pelengkap dalam majlis pertunangan atau pernikahan. Kalau pada zaman dahulu, hantaran diberi dalam bentuk makanan seperti manisan dan kuih-muih, cukup berbeza jika nak di bandingkan dengan masa kini di mana hantaran lebih kepada pemberian barangan berjenama seperti pakaian, wangian, alat elektronik dan sebagainya. Namun begitu, ia bergantung dengan kemampuan masing-masing dalam memberi hantaran dan yang paling penting mestilah kena seikhlas hati – bukannya menjadikan ia sebagai beban ya!
Bilangan Hantaran Mestilah Ganjil
Mengikut adat resam, hantaran perlulah diberi dengan mengikut angka bilangan ganjil. Bilangan minimum bagi pihak lelaki adalah 3 dulang hantaran yang perlu dibalas 5 dulang hantaran bagi pihak perempuan. Jika 5 dulang pihak lelaki perlulah dibalas dengan 7 dulang pihak perempuan, 7 dulang pula akan berbalas 9 dulang, 9 dulang akan berbalas 11 dulang dan semuanya bergantung dengan kemampuan masing-masing – selalunya akan ada berbincangan sebelum sesi berbalas hantaran. Bak kata orang tua-tua, lagi banyak lagi meriahlah sesebuah majlis itu.
Dekorasi Dalam Hantaran
Ini salah satu perkara yang cukup penting dalam mempersembahkan hantaran iaitu dekorasi bagi memperkemaskan barangan dalam dulang. Tidaklah wajib untuk menghabiskan wang ringgit semata-mata hanya untuk gubahan hantaran, dan selalunya ia dilakukan secara DIY yang selalunya diambil alih oleh golongan mak-mak. Kebiasaanya, barangan akan diletakkan di atas dulang tembaga tetapi sekarang dulang plastik juga digunakan, kemudiannya hantaran akan dihias dengan bunga-bungaan, pelagai jenis manik dan riben mengikut kreativiti – boleh dikatakan masa macam ni lah bakat terpendam golongan mak-mak ni akan terserlah.
Budaya Hidden Hantaran Masih Kekal
Salah satu adat yang masih wujud dalam budaya melayu adalah Hidden Hantaran di mana barangan hantaran akan dibalut dengan kain seperti hadiah sebagai salah satu cara memperlihat masih adanya hantaran tetapi dengan niat lebih kepada berbentuk peribadi. Tiada buah mulut daripada orang ramai terhadap hantaran, malah ianya akan menjadi lebih misteri dengan melakukan hantaran secara tertutup. Walaupun ianya lebih tertutup, hantaran masih digubah dengan cantik dan kemas – adakalanya ia hanyalah sebuah kotak kosong yang digunakan sebagai simbolik hantaran tanpa perlu membawa barangan yang sebenar ketika berada di majlis, bukankah akan jadi lebih mudah begitu?
Tidak kiralah bagaimana rupa sesebuah hantaran itu yang penting ia datang dengan hati yang ikhlas dan bukanlah beban kepada mereka yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga. Adat resam ini hanyalah seperti warna bagi memeriahkan lagi majlis dan pastinya akan berbeza-beza mengikut adat resam negeri masing-masing. Yang paling penting, ikatan yang sah dan kelangsungan hidup selepas menjadi raja sehari itu yang lebih perlu diutamakan.