Wau perkataan yang berasal dari bahasa Thailand cukup rapat dengan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah menjadikan ia permainan popular dimainkan kaum Melayu dan Siam di sana. Ada juga yang mengatakan bahawa nama wau terhasil daripada bunyi busur yang dapat didengar ketika ia terbang di udara.
Namun begitu, seni disebalik pembuatan wau menjadikan ia menarik untuk ditatapi kerana keindahan dalam penghasilan wau sangat mengagumkan. Terdapat lima komponen asas bagi sebuah wau iaitu terdiri daripada kepala wau, busur, sayap wau, torek dan ekor wau. Kalau korang perasan LOCCO menggunakan wau sebagai logo dalam melambangkan budaya Malaysia sejajar dengan konteks yang kami bawa – meraikan warisan.
Jom kita kenali serba sedikit tentang jenis-jenis wau yang dimainkan di Malaysia:
Wau Bulan
Wau ini berasal di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang merangkumi negeri Kelantan, Terengganu, dan Pahang. Wau ini juga sangat popular di Malaysia sehingga boleh kita lihat ia didirikan di Lorong Kasturi di Pasar Seni. Bentuknya menyerupai bulan sabit pada bahagian hadapan dan separa bulatan pada ekornya. Saiznya pula lebih besar berbanding wau-wau yang lain. Bidang biasa sepanjang 2.5 meter dengan tinggi 3.5 meter. Hal ini menjadikan wau ini jelas kelihatan jelas di langit dengan warna yang terang dan corak yang selalunya lebih besar mewarnai langit biru.
Wau Daun
Wau ini menyerupai bentuk wau bulan tetapu bentuknya lebih lebar dan ringan. Coraknya dilukis dan tidak menggunakan teknik sobek iaitu potong dan tampal seperti kebanyakan wau. Ia juga sangat berbeza kerana tidak mempunyai pedengung jadi tiada bunyi yang akan terhasil. Biasanya, wau ini dimainkan pada waktu pagi kerana ia mampu terbang tinggi walaupun ketika angin bertiup dengan perlahan. Ini disebabkan ianya coraknya dilukis menjadikan ia lebih ringan dan dinamik ketika diterbangkan.
Wau Kapal
Wau ini popular di negeri Selangor dan hampir menyerupai bentuk wau bulan namun coraknya lebih menjurus kepada sebuah kapal. Ia terbahagi kepada 2 jenis iaitu wau kapal tradisional dan wau kapal moden, yang membezakan keduanya adalah wau kapal tradisional lebih menerapkan hiasan menggunakan teknik telepuk iaitu tebuk dan tampal menghasilkan corak daripada beberapa lapisan kertas warna manakala wau kapal moden tidak mempunyai motif hiasan seni tradisional. Walaupun penghasilannya sedikit rumit, ianya sangat unik dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri .
Wau Merak
Wau Merak merupakan wau rasmi di negeri Johor. Mengikut sejarah, ianya popular dikalngn keturunan Bugis Malaysia dan dipercayai berasal dari Sulawesi, Indonesia. Reka bentuknya bercirikan burung merak dan mempunyai pelbagai saiz serta ekornya lebih panjang untuk membezakan ia dengan wau helang. Wau Merak juga akan dipasang dengan degung atau busur untuk mengeluarkan bunyi sehingga 7 irama boleh didengar di udara. Motif tumbuhan yang menjalar seperti lada hitam dan gambir menjadi pilihan untuk menghiasi corak wau ini.
Wau Jala Budi
Wau ini popular di negeri Kedah dan menjadi kebanggaan negeri tersebut. Namanya diambil daripada bentuk menyerupai daun budi dan jala pula dari kerangka ekornya. Biasanya, wau ini akan dipasang dengan degung atau busur di bahagian atas untuk menghasilkan bunyi apabila diterbangkan ke udara. Wau ini juga hampir sama dengan rupa Layang-Layang Chula di Thailand.
Masih ada yang menghargai seni pembuatan wau ini dengan melakukan event seperti Pesta Wau Antarabangsa dalam mempersembahkan hasil-hasil tangan penghias di dada langit. Secara tidak langsung ia juga mampu meningkatkan lagi prestasi industri pelancongan dan budaya kita. Siapa lagi yang perlu menghargai kalau bukan kita agar seni ini tidak hilang begitu sahaja ditelan zaman – ye dok?