fbpx

Lain Budaya Maka Lainlah Muziknya

Pernah melihat persembahan muzik seperti dikir barat ataupun gamelan? Iringan alunan muziknya masih indah untuk kita didengari sehingga kini dan gabungan irama alat-alat muzik pasti meruntun jiwa mereka yang masih menghargai seni tradisi ini. Mungkin semakin sukar untuk kita nikmati muzik seperti ini melainkan ketika adanya upacara atau majlis yang menjadi lambang sesebuah kebudayaan etnik dan kaum. 

Jadi, jom kita lihat beberapa jenis muzik tadisi yang ada di Malaysia:

Sumber: Ezani Photo

 

Cak Lempong

Cak Lempong menggunakan Aaat muzik berupa gong kecil yang berasal dari Minangkabau yang banyak terdapat di Negeri Sembilan. Ianya diperbuat daripada gangsa dan dibentuk menggunakan teknik acuan. Cak Lempong dibahagikan kepada tiga bahagian mengikut fungsi iaitu Gereteh (melodi), Tingkah & Saua (ritma homofoni). Biasanya, Cak Lempong dimainkan dengan iringan alat-alat muzik lain seperti rebana dan seruling buluh. Antara persembahan yang menggunakan muzik ini adalah Seni Silat, Randai dan Tarian Inai.

Sumber: Bahizal Abu Bakar

 

Ghazal

Ghazal merupakan muzik tradisional yang kuat dalam masyarakat Melayu di Johor. Sebelum ini, ia dinamakan Qamat yang bermaksud nyanyian dan beriuh rendah. Mengikut sejarah, golongan bangsawan Johor sering mendengar irama ghazal apabila datang ke Riau setelah kerajaan Johor menjalinkan hubungan dengan kerajaan Riau-Lingga. Setelah mereka memperkenalkan muzik ini di istana, sultan serta para pembesar begitu tertarik dengan irama muzik tersebut sehingga dikembangkan secara pesat ke seluruh daerah di Johor. Ghazal kebiasaanya dimainkan di majlis perkahwinan, keramaian, dan acara rasmi di Johor. Antara peralatan ghazal adalah peti harmonium, biola, gambus, gendang, tamborin dan marakas.

Sumber: Krish Balkis

 

Nobat

Warisan kesenian Melayu yang masih kekal sehingga kini. Nobat dimainkan ketika majlis tertentu di istana seperti istiadat pertabalan dan menyambut kelahiran baharu. Oleh itulah nobat dikenali sebagai muzik Diraja Melayu. Antara alat muzik yang digunakan adalah nafiri, serunai, gong, gendang ibu dan gendang anak. Terdapat juga pantang larang yang perlu diikuti para pemain nobat seperti tidak boleh mengajar semua lagu nobat kepada keturunannya dan wajib memakai pakaian rasmi berwarna hitam.

Sumber: mradam razwan

 

Dondang Sayang

Sejenis nyanyian balada cinta yang digunakan untuk menyampaikan perasaan kasih. Bentuk nyanyian ini menggunakan pantun spontan yang perlu dibalas oleh penyanyinya. Mengikut sejarah, irama muzik ini wujud pada abad ke-15 ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah, Dondang Sayang digunakan untuk menghiburkan para pedagang yang singgah di Melaka. Muzik ini juga digunakan untuk memeriahkan majlis seperti perkahwinan. Antara alat muzik yang digunakan adalah biola, gong, dan rebana. Biasanya, pemain biola akan menjadi ketua kumpulan untuk membekalkan melodi dalam persembahan.

Sumber: Lebah Pingit

 

Gamelan

Gamelan berasal daripada Bahasa Jawa ‘gamel’ yang bermaksud memukul atau menabuh. Ia muncul daripada budaya luar di Hindu-Buddha. Di Malaysia, Tengku Ampuan Wan Fatimah mula mengiatkan aktiviti gamelan ketika pemerintahan Sultan Ahmad Muadzam Shah di Pahang sebelum dibawa ke Terengganu untuk melatih rakyat di sana pada tahun 1915. Antara lagu yang dicipta seperti Lancang Kuning, Togok, dan Lambang Sari. Alat muzik yang digunakan pula adalah bonang, gambang, kenong, saron, gong, dan gendang.

Sumber: SARAWAKfm

 

Bermukun

Sebuah muzik yang menjadi hiburan kepada masyarakat Melayu Sarawak. Mengikut sejarah, bermukun adalah ritual perubatan untuk mengubati pesakit. Selepas kedatangan Islam, bermukun berubah menjadi hiburan ditambah pula dengan bunyian gambus yang menyedapkan lagi irama muzik. Terdapat beberapa syarat yang mesti dipatuhi untuk bermukun seperti hanya wanita boleh bermain gendang dan lelaki untuk bertandak atau menari. Biasanya, gendang akan digunakan sebagai alat muzik rasmi dan boleh digabungkan dengan yang lain. Pemain gendang pula dikenali sebagai ‘mak gendang’ dan ‘seh gendang’.

Sumber: USIMTV

 

Dikir Barat

Satu persembahan berkumpulan dan popular di negeri Kelantan. Biasanya, ketua kumpulan akan dinamakan Tukang Karut atau Tok Juara untuk mendahului nyanyian yang akan diselit dengan pantun. Kemudian, barisan belakang atau ‘awak-awak’ akan menjadi suara latar mengikuti nyanyian tersebut secara kuat dan lantang. Muzik ini sentiasa wujud dalam masyarakat Melayu di kampung dan pinggir bandar di Negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Nyanyian ini juga boleh dibuat sebagai pertandingan ataupun hiburan dalam majlis. Dikir Barat mempunyai beberapa alat muzik seperti rebana, gong, dan marakas. Ada juga persembahan yang tidak menggunakan alat muzik, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada tepukan tangan awak-awak yang kuat dan seimbang.

Sumber: omar hashim omara

 

Boria

Sejenis persembahan teater yang popular di utara Malaysia terutama di Pulau Pinang. Boria mempunyai ikatan dengan budaya Arab dari segi pakaian, muzik, dialog, dan tarian. Persembahan boria akan dimulakan dengan sketsa pendek dan diikuti dengan nyanyian dan tarian. Antara alat muzik yang digunakan adalah gendang, biola, tabla, dan harmonika. Antara aspek yang penting dalam persembahan ini adalah kebolehan para pemuzik untuk membawa irama yang seiring dengan nyanyian ketua atau tukang karang.

Sumber: Ross Kaminsky

 

Kulintangan

Rentak muzik daripada Sabah hasil susunan saiz gong. Pebagai etnik menggunakan kulintangan dengan cara yang tersendiri seperti kaum Suluk dan Bajau. Muzik ini dimainkan ketika majlis kenduri sebagai hiburan kepada para tetamu. Asalnya, kulintangan diperbuat daripada logam tembaga namun sudah digantikan dengan besi pada masa ini. Biasanya, kulintangan akan dimainkan bersama gong dan menghasilkan muzik bertindik seperti Pukulan Tidung dan Pukulan Kedidi. Kulintangan juga boleh dimainkan bersama canang dan gendang. Antara tarian yang seiring dengan muzik ini adalah tarian Magalai daripada kaum Dusun Labuk.

Facebook
Twitter
WhatsApp

Related Posts