fbpx

Eksplorasi Kota Sejarah di Melaka

Tahukah anda, Melaka merupakah sebuah tempat yang strategik dalam sektor pelabuhan dengan adanya aliran Selat Melaka yang laluan kebanyakan negara untuk berdagang sejak zaman dahulu. Oleh sebab itu, Melaka menjadi pilihan beberapa kuasa buasa seperti Portugis dan Belanda untuk menjajah tanah kesultanan Melayu Melaka pada ketika itu. Hasil daripada jajahan tersebut, dapatlah kita lihat pada hari ini himpunan bangunan dan kesan sejarah yang menjadikan negeri sang kancil ini sangat unik di mata dunia.

Tanpa membuang masa, jom kita tinjau beberapa lokasi bersejarah yang wajib untuk kita lawati ketika menetapkan kaki di negeri Melaka.

A Famosa

Yang memberi makna ‘Yang Termasyur’ dalam bahasa Portugis merupakan sebuah kubu pertahanan Portugis setelah berjaya menawan Melaka pada 1511. Kubu ini telah rosak akibat serangan oleh pihak Belanda ketika Perang Melaka pada 1641 sebelum ia kembali dipulihkan. Namun, hampir keseluruhan kubu ini dimusnahkan oleh pihak British pada 1806 dan kini hanya tinggal gerbang Porta de Santiago dan kubu Middelburg sebagai bukti kemunculan dua kuasa penjajah ini. A Famosa menjadi antara tarikan utama orang ramai ketika berada di Bandar Hilir, Melaka.

Gereja St. Paul

Dibina pada 1521 dengan nama Nossa Senhora do Monte, antara gereja tertua dibina di Asia Tenggara. St. Francis Xavier telah membawa masuk ramai penganut Kristian dan seterusnya mengembakan ia menjadi pusat pada 1590. Selepas kuasa pemerintahan bertukar tangan ke pihak Belanda, gereja ini ditukar nama St. Paul yang juga dikenali sebagai Bovenkerk. Gereja ini turut digunakan di zaman British pada 1824 dan kemudiannya ditinggalkan begitu sahaja. Kini, bangunan ini meninggalkan bekas kubur lama Portugis dan juga tugu St. Francis Xavier.

Dataran Belanda

Dataran ini terletak di Bandar Melaka dan dikelilingi dengan bangunan-bangunan kecil dan menara jam. Ia menjadi pusat Belanda yang terletak tidak jauh daripada kawasan Portugis. Antara tarikan yang terdapat di sekelilingnya adalah seperti Gereja Christ dan juga Stadthuys yang menjadi pusat pentadbiran Gabernor Melaka pada ketika itu. Dataran ini diwarnai dengan cat merah dan ia telah menjadi lokasi tarikan pelancongan yang utama. Anda boleh masuk ke dalam Stadthuys yang kini sebuah muzium Sejarah & Etnografi yang mempamerkan sejarah Melaka.

Muzium Samudera

Muzium ini dibina pada 1990 di dalam sebuah replika kapal Portugis iaitu Flor de La Mar. Untuk penngetahuan korang semua, kapal yang asal digunakan oleh orang Portugis telah karam di lautan Sumatera dan belum ditemui sehingga kini. Muzium ini mempamerkan sejarah kelautan Melaka dan sejarah kegemilangan Melaka yang menyimpan artifak, peta lama, dan model kapal yang digunakan pada ketika dahulu. Pameran di muzium ini juga memaparkan perkembangan perdagangan dari zaman kesultanan Melayu Melaka hingga ke zaman Kolonial Portugis, Belanda, Inggeris dan era penaklukan Jepun di Tanah Melayu.

Muzium Istana Kesultanan Melaka

Hakikatnya, Melaka telah lama dihuni sebelum ia dijajah kuasa luar dengan wujudnya Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Nak tahu lebih dalam mengenai sejarah Melayu Melaka, kenalah cuba masuk ke muzium ini. Muzium ini dibina di atas tapak lama Istana Kesultanan Melaka dan ia mempamerkan catatan sejarah Melayu yang bermula dari tahun 1400. Di sini kita dapat mengenal sejarah penubuhan negeri Melaka yang seterusnya bagaimana ia membentuk sebuah kerajaan sultan yang terkisah pada zaman Parameswara dan juga Pahlawan 5 Hang.

Sungai Melaka

Sungai ini amat penting sejak dari Zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi sebagai sebuah kawasan pelabuhan yang sangat strategik untuk aktiviti perdagangan. Hal ini yang menarik kedatangan Portugis dan Belanda ke Melaka dan menawan tanah ini untuk tujuan yang sama. Kini, Sungai Melaka muncul sebagai kawasan pelancongan yang dikelilingi dengan gerai-gerai dan taman rekreasi. Anda juga boleh menaiki river cruise dan Malacca Duck Tours untuk merasai sendiri pengalaman belayar di sungai bersejarah ini.

Perigi Hang Li Po

Perigi ini dibina oleh para pengikut Hang Li Poh pada tahun 1459 sebagai sumber air utama di bandar Melaka. Portugis dan Belanda juga menggunakan perigi ini untuk tujuan yang sama. Kini, perigi ini masih digunakan untuk sumber air kerana tidak pernah kering walaupun ketika musim kemarau. Perigi ini juga boleh digunakan sebagai perigi permintaan. Anda boleh juga melawat Perigi Hang Tuah dan Perigi Portugis (ditutup dan menjadi tanah persendirian, jika bertuah boleh berjumpa dengan penjaga pintu).

Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan

Selain daripada Dataran Merdeka dan Stadium Merdeka yang menjadi saksi kemerdekaan negara pada 1957, bangunan ini menyimpan pelbagai arkib tentang kronologi kemerdekaan daripada dokumen hingga teks kemerdekaan. Asalnya, bangunan ini dibina pada 1911 sebagai Kelab Melaka untuk golongan atasan British di sana. Setelah kemerdekaan, kelab ini dibuka kepada orang ramai dan dijadikan memorial pada 31 Ogos 1985, 28 tahun selepas kemerdekaan Malaysia.

Facebook
Twitter
WhatsApp

Related Posts