fbpx

Pakaian Tradisi Simbol Identiti Etnik di Borneo

Sempena Tadau Kaamatan dan Gawai Dayak, kami nak kongsikan sedikit info mengenai rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak. Perayaan masih penting walaupun disaat getir dengan melakukan persiapan untuk ritual dan makanan yang istimewa. Pakaian juga tidak terlepas dititikberatkan bagi mereka yang menjadi simbol sesuatu etnik di sana. Jadi, mari kita lihat beberapa jenis pakaian yang merujuk kepada kaum-kaum di Kepulauan Borneo Malaysia.

Sabah

Kadazan-Dusun

Kalau kenal etnik Kadazan-dusun, korang mesti tahu Tarian Sumazau. Masyarakat kaum Kadazandusun akan memakai pakaian tradisi mereka sewaktu perayaan Tadau Kaamatan dan juga semasa pertandingan Unduk Ngadau atau ratu cantik, dan sedikit berbeza begantung dengan kawasan mereka.

Bagi masyarakat yang tinggal di Penampang, lelaki akan memakai baju gaung, seluar souva, bengkung toogot dan siga. Bagi wanita, mereka akan memakai baju pendek sinuangga, kain labuh tetapi dan selendang batik yang dilengkapi tali pinggang himpogot. Bagi yang tinggal di Papar, lelaki dan perempuan akan memakai baju fabrik baldu hitam yang berhiaskan renda kuning keemasan. Cuma, lelaki akan dilengkapkan dengan kepala sigal dan kain destar. Wanita akan memakai siung daripada anyaman buluh halus selepas siap dipakaikan baju fabrik baldu hitam. Mereka akan dihiaskan dengan gelang tangan dan tali pinggang syiling perak.

Bajau

Kaum Bajau juga mempunyai perbezaan dalam ciri pakaian tradisi mengikut kawasan. Bagi yang berada di Kota Belud, lelaki akan menggayakan Badu Sampit (baju), tanjak, Suar (seluar), Ingkot Pangkat (tali pinggang) dan selendang. Wanita pula akan memakai Badu Sipak (blaus yang berwarna kuning keemasan), Sarimpak (hiasan kepala), Olos Berangkit (kain sarong), Keku (kuku palsu buatan), Ingkot Pangkat, selendang dan sumbang. Pakaian ini akan digunakan dalam Majlis Bersanding dan Sepak Manggis.

Bagi masyarakat kaum Bajau yang tinggal di Semporna, pakaian tradisional dipanggil Alal Bimbang yang biasanya dipakai ketika pesta Regatta Lepa ataupun pesta sukan air di mana penari-penari akan memakai pakaian tersebut dalam pelbagai warna. Mereka akan memakai baju baldu hitam dan seluar/kain sarong dan perhiasan seperti Jabang (mahkota), Kambut(tali pinggang), manik bulat pada baju, Bungkah (gelang keemasan) dan Salung (sarung kuku).

Murut

Masyarakat kaum Murut akan memakai pakaian tradisional mereka ketika Tarian Magunatip yang diadakan semasa Hari Magavau atau Tadau Kaamatan.

Bagi lelaki, mereka akan memakai Puputul yang diperbuat daripada kulit kayu dan dibahagikan kepada tiga iaitu Babaru puputul (jaket) yang dipotong mengikut kepanjangan fesyen, Aba puputul (cawat) sepanjang dua meter menggunakan isi kayu dan Tupi Sinulatan (perhiasan kepala) daripada kulit kayu.

Wanita pula menggayakan Pinongkolo iaitu baju dan gaun berwarna hitam yang dihias dengan manik-manik. Antara pakaian atau perhiasan lain bagi pakaian wanita kaum Murut iaitu Pipirot, Sinikot, Rarangkol dan Holong.

Sarawak

Iban

Dalam perayaan Gawai Dayak, kaum Iban akan memakai pakaian tradisi dengan perhiasan logam duit syiling, logam perak, kulit siput dan manik ketika acara perarakan untuk menyambut kedatangan dewa. Orang lelaki akan memakai Kain Sirat (kain cawat) yang akan dihiaskan dengan manik dan kulit siput bahagian hujung kain. Untuk memakai Sirat, lilitkannya dipinggang dan celah kangkang. Hujung kain ini dijuntaikan dari pinggang ke hadapan dan belakang badan, mempamerkan bahagian yang berhias. Selepas Sirat, mereka akan memakai Dangdong(kain selendang) yang diperbuat daripada kain yang ditenun dengan cara ikat. Dangdong lebih lebar daripada bedong dan panjangnya tidak tetap kerana kain ini digunakan sebagai pembungkus barang-barang persembahan dalam upacara tertentu.

Bagi wanita Iban, mereka akan memakai Bidang(kain sarung) yang sempit dan panjangnya hanya separas lutut. Dalam upacara tertentu, bidang akan dihiasi dengan reka corak geometri dan diwarnakan dengan warna merah bata dan kekuning-kuningan. Selepas Bidang, mereka akan memakai Kalambi yang terbahagi kepada dua iaitu kalambi berlengan dan kalambi tanpa berlengan. Kalambi ditenun dengan cara ikat dan dihiasi dengan jalur atau figura binatang. Ada juga kalambi yang dilapiskan dengan kekabu sebagai pertahanan. Akhir sekali, mereka akan memakai bedong(kain selendang) yang panjang dan sempit. Ia dihiasi dengan reka corak tenunan yang halus. Dalam upacara tertentu, bedong akan diselempangkan di badan seperti pangkahan di dada.

Bidayuh

Bagi kaum Bidayuh, warna hitam merupakan warna utama dalam pemakaian. Orang lelaki Bidayuh akan memakai baju & seluar yang diperbuat daripada kain satin dan dihiasi dengan pita merah dan putih. Di bahagian luar, mereka akan memakai Jipo Bayuh yang diperbuat daripada kulit kayu dan kalung gigi beruang. Tak percaya bukan? Sebab itu sepersalinan Jipo Bayuh dianggarkan pada harga RM800 di pasaran. Ini mungkin kerana kesukaran untuk mendapatkan bahan-bahan terutamanya gigi beruang.

Bagi wanita Bidayuh, mereka akan menggayakan baju Jipo pendek dan skirt bidang fabrik satin rona hitam. Pakaian ini akan dihiaskan degan selempang merah. Bahagian pinggang akan dihiaskan dengan syiling perak. Perhiasan kepalanya ialah sipiah daripada kombinasi warna hitam, merah dan putih serta dihiaskan dengan manik, labuci dan syiling perak.

Melanau

Biasanya, kaum Melanau akan memakai pakaian tradisional ketika acara perkahwinan. Lelaki akan memakai baju potongan moden bersamping broked oren keemasan, pinggang berikat selendang sifon dan menutupi bahagian kepala dengan kopiah Jawa.

Bagi wanita Melanau, pakaian mereka terbahagi kepada dua iaitu baju Baban dan Baju Baldu. Baju Baban ialah baju kurung pendek warna hitam yang dipadankan dengan kain songket keemasan. Dua helai selendang merah akan diletakkan di bahagian dada sambil. Kepih akan dihiaskan di bahagian dada dan sanggul. Satu lagi pakaian perempuan Melanau ialah baju baldu hitam dengan sarung songket Brunei tenunan Sarawak, bertali pinggang pending besar. Mereka juga akan diserikan dengan dokoh dan kepih sanggul.

Kalau ketika nak lihat lagi mendalam sebenarnya terdapat pelbagai variasi pakaian hanya untuk satu etnik dan bayangkan ada lebih 60 etnik di Borneo, berapa banyak sebenarnya yang belum kita ketahui. Bangga jadi rakyat Malaysia sebab kaya dengan budaya dan adat yang menjadikan kita antara negara yang popular untuk dilawati oleh orang luar. Tapi kita juga harus kenali dan menghargai khazanah ini sebelum hilang untuk diwarisi kerana ia merupakan simbol identiti bagi setiap kaum.

Facebook
Twitter
WhatsApp

Related Posts