fbpx

Eksplorasi Sejarah Kota Georgetown

Sejak Georgetown dibangunkan oleh Francis Light pada 1786, kota ini terus berkembang menjadi sebuah bandar yang pesat dengan warisan budaya, bangunan lama dan aktiviti kemasyarakatan. Hasilnya, kita masih dapat melihat beberapa tempat yang masih berdiri kukuh walaupun sudah berusia lebih 100 tahun. Dengan ciri-ciri budaya dan kekukuhan tempat tersebut, Georgetown diberi penghargaan oleh UNESCO sebagai Kota Warisan Dunia pada 7 Julai 2021. Sejak itu, 7 Julai dipilih sebagai Hari Warisan Bandar Dunia Georgetown untuk menghargai kota yang penuh dengan sejarah yang budaya yang berabad lamanya. Kali ini, kita akan melihat beberapa tempat yang terletak dalam kawasan Warisan Dunia UNESCO yang rata-rata terdiri daripada bangunan kolonial dan rumah ibadat.

1. Fort Cornwallis

Kubu ini dibina oleh Syarikat Hindia Timur British pada lewat abad ke-18 sebagai pertahanan Georgetown (waktu itu, Georgetown tidak sebesar kini) dan masih kukuh sehingga hari ini. Yang menariknya, kubu ini tidak pernah diserang sehingga hari ini. Pelik bukan? Kubu ini menempatkan beberapa meriam lama dan rumah api yang memberikan gambaran tentang operasi syarikat tersebut.

Tip: Kubu ini dibuka pada umum tetapi tak semua kawasan boleh dilawati pengunjung. Dengan harga tiket yang ‘mahal’, anda tidak mahu pulang dengan kehampaan, bukan? Buat sedikit rujukan tentang info terkini kerana tak semua informasi tepat. Harga tiket untuk pelancong ialah RM20 (dewasa) dan RM10 (kanak-kanak), bagi warganegara ialah RM10 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak).

Tip: Harga tiket boleh berubah tanpa sebarang notis, jadi sentiasa berwaspada.

2. City Hall

Dibuka pada tahun 1903 sebagai Pejabat Perbandaran Georgetown, bangunan ini menggabungkan ciri arkitek Edwardian Baroque & Palladian yang mencerminkan imej British. Pejabat ini menjadi pusat pentadbiran British yang menjaga masyarakat di sana.

Kini, bangunan ini diambil alih oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan dijadikan pejabat pentadbiran. Pengunjung boleh mengambil gambar di luar bangunan sahaja.

3. Gereja St. George

Antara bukti kemasukan agama Kristian ke Pulau Pinang ialah gereja ini yang dibuka pada 1818 dan menjadi gereja Anglican tertua dibina di Asia Tenggara. Kedudukannya sangat strategis kerana terletak di Lebuh Farghur, Penang menjadikan sekitarnya agak beragin.

Selain itu, terdapat astaka berkubah di laman gereja yang telah dibina lebih 120 tahun yang lalu bagi memperingati Francis Light, pengasas Pulau Pinang. Pengunjung boleh melihat reka bentuk gereja yang diambil dari seni Barat yang unik.

4. Eastern & Oriental Hotel

Lebih dikenali sebagai E&O Hotel, bangunan kolonial ini dibangunkan oleh Sarkies Brothers pada tahun 1885. Walaupun di luar hotel nampak lama, namun kemudahan dan restoran di dalamnya cukup mewah.

Promosi: E&O Hotel menyediakan promosi untuk pengunjung yang bekerja atau akan bekerja di Georgetown untuk tinggal sementera di sini dengan harga serendah RM400 satu malam. Boleh lihat poster ini untuk lebih lanjut.

5. Lebuh Pantai

Jalan yang dikenali sebagai Beach Street ini merupakan antara jalan yang tertua di Pulau Pinang setelah dibuat oleh Francis Light pada 1786. Di sepanjang jalan ini, pengunjung akan melihat beberapa bangunan kolonial lama yang masih digunakan sebagai bank seperti HSBC dan Standard Chartered.

Disebabkan itu, jalan ini menjadi Pusat Perbankan Georgetown Lama sebelum adanya pusat baharu di Jalan Sultan Ahmad Shah(Northam Road) & Persiaran Gurney(Gurney Drive).

6. Suffolk House

Tahukah anda, rumah ini menjadi kediaman Francis Light? Ya, beliau menetap di sini sebelum meninggal dunia pada tahun 1794. Jadi, secara teknikal, rumah ini sudah dibina lebih 200 tahun dahulu. Selepas kematian Light, rumah tersebut menjadi usang sebelum dibina semula oleh British pada tahun 1805 di atas tapak lama rumah ini dan dinamakan Suffolk House.

Rumah ini digunakan sebagai kediaman Gabenor, tempat mesyuarat dan pernah menjadi Sekolah Methodist Lelaki selama 46 tahun sebelum dibiarkan usang semula pada tahun 1975. Kini, bangunan ini telah dibaik pulih dan menjadi antara tarikan pengunjung di Georgetown. Pengunjung boleh melihat koleksi lama yang berusia lebih 200 tahun dan menikmati makanan di restoran di sana yang ‘mewah’(dan mahal).

7. Masjid Kapitan Keling

Dibuka oleh kumpulan India Muslim pada tahun 1801, masjid ini merupakan antara pencetus kemasukan Islam di Pulau Pinang lebih-lebih lagi bagi kumpulan ini yang juga dikenali sebagai Mamak.

Menggunakan seni Islam yang dicampur dengan unsur Mughal dan Moorish, masjid ini masih dijaga rapi dan menjadi antara pusat Islam di Georgetown dengan banyak kunjungan daripada pelancong untuk beribadah.

8. Kuil Kuan Im Teng

Diberi jolokan Goddess of Mercy Temple, kuil ini dibina pada tahun 1728, menjadikan ini sebagai kuil Taoist tertua di Pulau Pinang. Kuil ini didedikasikan kepada Guan Yin, Dewi Rahmat (Goddess of Mercy).

Pengunjung yang tiba di sini boleh melihat seni bina Cina yang kekal berdiri selama lebih 250 tahun seperti ukiran naga di bahagian atap kuil. Jika anda bertuah, anda boleh melihat ritual yang dilakukan oleh masyarakat beragama Taoism yang cukup teratur.

9. Cheong Fatt Tze Mansion

Rumah agam ini dibina pada tahun 1897 oleh usahawan perniagaan, Cheong Fatt Tze yang menjadikan rumah ini sebagai kediaman persinggahan(Beliau banyak menghabiskan masa hidupnya di Indonesia sebelum meninggal dunia di sana). Rumah ini dicat dengan warna biru-indigo pada dinding luar yang menyerlahkan lagi rumah ini sehingga pernah disebut sebagai The Blue Mansion. Rumah ini mempunyai 38 bilik, 5 halaman berturap granit, 7 tangga dan 220 tingkap louvre. Wow!

Banyaknya tapi kan dia tinggal seorang sahaja? Bilik tu untuk siapa? Kalau nak tahu, kenalah datang sini(Hakikatnya, saya pun tak tahu). Apa yang saya tahu, rumah ini dibeli oleh kumpulan penduduk Pulau Pinang untuk menyelamatkan rumah ini daripada dirobohkan. Kini, rumah ini dijadikan hotel dan pengunjung boleh menikmati pemandangan antik yang cantik serta dilengkapi dengan kemudahan seperti restoran dan spa.

10. Pinang Peranakan Mansion

Asalnya, rumah ini didiami oleh Chung Keng Quee, seorang hartawan pada tahun 1893. Selepas beliau meninggal dunia, rumah ini terus terbengkalai. Namun, rumah ini berjaya diselamatkan oleh pemaju yang memulihkan rumah ini, seterusnya menukarkan ia sebagai muzium khas yang menampilkan ciri-ciri budaya kaum Peranakan di Penang.

Pengunjung boleh melihat beberapa koleksi Peranakan seperti perkakasan, alatan, dan pakaian. Dari luar, mereka sudah boleh teka rumah Peranakan dengan seni reka yang unik, seperti gabungan Melayu & Cina yang merujuk kepada Peranakan.

11. Kuil Sri Mahamariamman

Setelah agama Kristian, Islam, dan Taoism, Pulau Pinang turut dimasuki ajaran agama Hindu. Antara buktinya ialah kuil ini yang dibuka pada tahun 1833, menjadikannya sebagai kuil Hindu yang tertua di Pulau Pinang.

Menggunakan seni reka Dravidian dari Selatan India, kuil ini dapat dikenal dengan melihat menara atau gopuram setinggi 23.5 kaki yang menghimpunkan 38 patung Dewa & Dewi Hindu.

Sebenarnya, ada lagi rumah ibadat yang dibina pada abad ke-19 seperti Wat Chaiya Mangkalaram (kuil Buddha Thai), Kuil Dhammikarama (Buddha Burma), dan Kuil Kek Lok Si (Buddha Cina). Namun begitu, kawasan-kawasan ini tidak termasuk dalam kawasan UNESCO Georgetown seperti yang saya katakan sebelum ini. Hakikatnya, terdapat banyak bangunan lama yang masih boleh dilihat oleh masyarakat walaupun sudah berusia lebih 200 tahun. Pemulihan dan penggunaan yang baik mendorong bangunan-bangunan ini untuk terus menabur bakti sebagai bumbung kepada aktiviti pelancongan dan ekonomi sekarang. Sedarlah, tak semua perkara dapat bertahan lama. Walaupun setinggi mana satu bangunan, ia tetap akan jatuh ke bawah jika kita sendiri tidak menjaganya. Oleh itu, jagalah khazanah lama selagi mana mampu. Adakah generasi akan datang dapat melihat lagi bangunan-bangunan lama ini?

Facebook
Twitter
WhatsApp

Related Posts