fbpx

Jom Terokai Deria Anda di Kuching

Pernah tak korang terfikir mengenai pengembaran dengan menfokuskan lima deria yang ada pada diri? Setiap deria iaitu lihat, hidu, rasa, dengar dan sentuh adalah alat yang penting untuk kita gunakan untuk mendalami sebuah kehidupan terutamanya dalam pengenalan sesuatu perkara yang baru. Jom kita ikuti pengembaraan yang dialami oleh Sharmsoul sepanjang keberadaan di Tanah Borneo iaitu Kuching.

The Marian Boutique Lodging House

Tahukah korang sebenarnya bangunan ini sudah berusia 136 tahun? Ya. Bangunan ini telah dibina pada tahun 1885 sebagai sebuah rumah agam kolonial. Satu ketika selepas itu, bangunan ini menjadi asrama pelajar perempuan St Mary sebelum diubahsuai kepada hotel. Terletak di tengah-tengah kota Kuching, hotel ini hanya beberapa minit jalan kaki daripada Waterfront Kuching dan Carpenter Street.

Korang boleh melihat pemandangan yang cantik serta suasana yang tenang tanpa banyak gangguan. Sila layari The Marian Hotel untuk melihat dengan lebih lanjut tentang kemudahan di sana serta menginap di bilik-bilik yang ditawarkan bermula dengan harga RM98.

Kuching Waterfront

Inilah tempat yang popular untuk berkumpul di ibu negeri Sarawak ini dengan jarak sepanjang 900 meter di selatan Sungai Sarawak. Sepanjang jarak tersebut, ada banyak gerai yang menjual makanan dan cenderahati. Anda boleh melihat beberapa bangunan era kolonial yang masih kukuh berdiri seperti Square Tower dan Chinese History Museum.

Nak pengalaman lebih menarik, korang juga boleh menaiki perahu tambang dengan hanya bayaran RM1 untuk menikmati panorama di sekitar Sungai Sarawak.

The Brooke Gallery at Fort Margherita & The Ranee Museum at Old Courthouse

Di sinilah anda akan belajar mengenai sejarah Raja Putih pertama Sarawak iaitu, James Brooke. Pelbagai barangan dan alat yang digunakan oleh keluarga Brooke serta latar belakang era Brooke dapat dilihat di sini. Anda boleh tinjau keadaan luar daripada atas di tingkat 2. Layari Brooke Gallery untuk maklumat lebih lanjut. Harga tiket bermula dengan RM5 (kanak-kanak) & RM10 (dewasa).

Ini adalah tip. Jika anda membayar RM15, anda juga boleh memasuki Muzium Ranee di Old Courthouse iaitu sambungan sejarah dalam keluarga Brooke yang menempatkan koleksi barangan antik yang digunakan oleh Ranee yang merujuk kepada Margaret, isteri kepada Charles Brooke yang juga menjadi Ratu Sarawak yang pertama pada usia 19 tahun. Antara artifak yang boleh ditemui di situ seperti keringkam yang menjadi pakaian tradisional.

Restoran Lepau

Bak kata orang, perkara yang paling seronok ketika melancong adalah makan. Jika anda ingin mencuba makanan tradisi orang Ulu & Dayak Sarawak, korang mesti cuba dekat sini.

Pelbagai makanan tradisional Sarawak akan disajikan lebih-lebih lagi daripada suku kaum Ulu & Dayak seperti Umai dan Ayam Pansuh. Jangan risau, nasi pun ada cuma ia berwarna keperangan dan dikenali sebagai Nasi Bario.

Bengoh Dam

Mari kita pergi keluar daripada kesibukan bandar dan menikmati keindahan flora dan fauna. Hanya terletak 1 jam daripada bandaraya Kuching, tempat ini juga dikenali sebagai The Jurassic World of Sarawak. Korang boleh lihat, rasa, dengar & amati pengalaman berada di hutan serta menjejakkan kaki di air terjun yang tersembunyi. Pastikan stamina dalam keadaan yang baik kerana korang perlu mendaki sebelum sampai di Air Terjun Pe’an yang turut dikenali sebagai ‘Curtain Waterfall’ terutamanya bila air penuh. Daripada situ, anda perlu meneruskan perjalanan selama 30 minit untuk tiba di Air Terjun Susung yang menjadi tarikan utama dalam perjalanan di Bengoh. Nak mandi, berkelah, silakan tapi jaga kebersihan ye. Jika anda ingin menikmati pemandangan Bengoh daripada atas, singgah ke Kampung Sting yang menempatkan anjung tinjau yang diperbuat daripada buluh. Untuk harga, hanya RM50 bersama pengiring di Bengoh. Jika ingin perjalanan malam di Kampung Sting, bayarannya adaah RM95.

126 Laksa

Jika korang nak rasa antara Laksa Sarawak yang terkenal, di sinilah tempatnya. Menariknya laksa ini dihidangkan pada waktu pagi sebagai sarapan penduduk di sini. Begitu sedapnya laksa ini sampai chef selebriti dunia, Anthony Bourdain memanggil Laksa Sarawak sebagai ‘Breakfast of the Gods’ kerana nikmatnya ketika makan laksa ini sehingga sukar untuk digambarkan.

Berbeza dengan kebanyakan laksa yang ada, Laksa Sarawak menghasilkan kuah dari air rebusan udang, pes laksa udang dan dicampurkan dengan santan pekat menjadi aromanya menusuk hidung dan rasanya yang sangat sedap. Nyaman! Korang mesti cuba!

Kampung Semadang

Jika korang penggemar kayak, cubalah berentap di sini. Terletak 1 jam dari bandar Kuching, boleh menikmati pengalaman berkayak sepanjang Sungai Semadang yang menyulusuri hutan hujan Borneo sepanjang 11km. Sebelum mula berkayak, korang akan berpeluang mengangkat sendiri kayak. Jangan risau, tak berat pun. Korang akan berhenti di beberapa hentian yang menyediakan pemandangan & perjalanan yang menyeronokkan seperti air terjun dan gua. Anda boleh layari Semadang Kayak untuk melihat aktiviti dan pakej yang ditawarkan oleh Semadang Adventure dengan harga serendah RM198 seorang untuk pakej kayak beserta makan tengah hari.

Sampai di sini dahulu. Nantikan episod 2 #my5senses di YouTube Locco Malaysia tidak lama lagi. Kamek pegi dolok lah oh.

Facebook
Twitter
WhatsApp

Related Posts