fbpx

Keretapi Sarong 2024: Warisan, Perpaduan dan Potensi Masa Depan

Hampir sebulan sejak Keretapi Sarong 2024 (KS2024) berlangsung pada bulan lalu, sukar sebenarnya hendak melupakan detik serta momen setiap yang berlaku pada 14 Sept. Betul?

KS2024 telah membuktikan bahawa keindahan dan kekayaan budaya tradisional Malaysia masih berdenyut dalam nadi rakyat. 

Bukan sekadar acara biasa, Keretapi Sarong – selepas lapan tahun penganjurannya – telah menghidupkan semula tradisi lama dengan nafas moden, menarik lebih 15,000 peserta di Kuala Lumpur, belum lagi dikira jumlahnya juga yang berlangsung di Johor Bahru, Ipoh, Kuantan dan Alor Setar. 

Setiap peserta, tidak kira usia atau latar belakang, menyarung pakaian tradisional seperti sarung, kebaya dan baju kurung, memberikan kehidupan kepada jalanan bandar dan menghidupkan semangat perpaduan

Keunikan Keretapi Sarong adalah bagaimana ia berjaya menyatukan rakyat Malaysia. 

Pengalaman ini bukan sahaja mengenai pakaian, tetapi tentang rasa bangga yang mendalam terhadap budaya dan warisan negara. 

Menurut laporan media tempatan yang memetik salah seorang peserta, Nadia berkata, “Walaupun nenek moyang saya bukan berasal dari Malaysia, saya tetap berasa bangga menyarung kain sarung ini dan merasai semangat perpaduan yang ditonjolkan oleh acara ini.” 

Keterujaan ini bukan sahaja dirasai oleh peserta tetapi juga oleh pemerhati seperti penulis yang terpesona melihat lautan manusia berbaju tradisional.

Melihat orang ramai berpakaian tradisional di tengah-tengah bandar mencetuskan rasa nostalgia dan keajaiban — seolah-olah sejarah kita dihidupkan semula dalam suasana moden.

Membaca pula tulisan media antarabangsa yang dijemput khas untuk KS2024 kali ini juga (baca artikel penuh mereka di sini),penulis malah lebih berbangga dengan apa yang Keretapi Sarong telah mulakan sejak 2017 – sekaligus membuktikan titik mula aktiviti budaya ini bukanlah suatu inisiatif yang sekadar angan-angan dan omong kosong!

Justeru, apa yang lebih menarik dapat semua saksikanadalah potensi Keretapi Sarong untuk berkembang pada masa hadapan. 

Bayangkan jika lebih banyak pihak berkepentingan, termasuk komuniti tempatan, pemain industri kreatif, dan organisasi kebudayaan, turut serta dalam penganjuran acara ini. 

Dengan lebih banyak kerjasama, Keretapi Sarong boleh menjadi acara tahunan yang bukan sahaja diraikan di Malaysia, tetapi juga menarik perhatian pelancong dan penggiat budaya di seluruh dunia. 

Kerjasama dengan pereka fesyen tempatan, seniman dan institusi kebudayaan antarabangsa boleh memberikan nafas baru kepada acara ini, menjadikannya lebih berwarna-warni dan penuh daya tarikan.

Tidak mustahil juga jika kita menyaksikan acara ini berkembang dengan penggunaan teknologi moden seperti realiti maya (Virtual Reality – VR) atau realiti tambahan (Augmented Reality – AR), membolehkan penonton dari seluruh dunia merasai pengalaman budaya Malaysia secara langsung, walaupun mereka tidak hadir secara fizikal.

Teknologi boleh menjadi jambatan antara warisan budaya tradisional dan dunia digital yang sedang berkembang pesat. Mana tahu, ini juga tidak mustahil Keretapi Sarong lakukan di masa hadapan.

Dalam kejayaan ini, kita tidak boleh melupakan peranan besar yang dimainkan oleh penaja utama, rakan strategik dan rakan kerjasama.

Kesemua penaja membawa inovasi berbeza atas tujuan yang sama dan terus berusaha berganding bahu bersama-sama Locco memastikan perjalanan lancar, sehinggalah di peringkat komuniti budaya di setiap lokasi tempatan — semua pihak ini menyumbang kepada kesempurnaan acara ini. 

Kerjasama erat antara pihak korporat dan komuniti menunjukkan bahawa dengan sokongan yang betul, kita boleh membawa sesuatu yang lebih besar dan malah, lebih bermanfaat setiap tahun.

Memandang ke hadapan, Keretapi Sarong 2024 mungkin juga suatu permulaan kepada suatu lagi pembaharuan baharu dan lebih kreatif untuk penganjurannya di tahun-tahun mendatang. 

Dengan sokongan yang lebih meluas dan kerjasama yang lebih erat, acara ini boleh berkembang menjadi satu pergerakan budaya global yang akan membawa nama Malaysia ke persada dunia. 

Inilah masanya untuk kita terus mengangkat warisan kita dengan bangga, sambil membina jalinan perpaduan yang lebih kukuh dalam kalangan rakyat dan memperkenalnya dengan gah lagi kepada dunia.

Warisan kita bukan sekadar memori masa lalu, tetapi adalah asas untuk masa depan yang lebih gemilang. 

Semoga Keretapi Sarong terus menjadi simbol perpaduan, budaya, dan keindahan yang merentasi masa dan generasi./LOCCO

Facebook
Twitter
WhatsApp

Related Posts