fbpx

8 Makna Di Sebalik Perayaan Tahun Baru Cina 🏮

Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. 

Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau. Namun, tahukah anda semua, di sebalik setiap perkara yang dilakukan masyarakat Cina sebelum, semasa atau selepas Sambutan Tahun Baru Cina membawa pelbagai makna.

Merah & Kuning Warna Tuah

Warna merah dan kuning akan dipakai sekiranya ia melibatkan peristiwa menggembirakan iaitu termasuk juga pada perayaan Tahun Baru Cina. Ini kerana mereka percaya bahawa warna-warna tersebut memberikan tuah, kekayaan, kesihatan dan juga memberi makna simbolik yang baik. Semasa di dalam majlis-majlis perayaan, adalah dilarang sama sekali memakai baju berwarna hitam, biru dan kelabu kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.

Makna Nombor 8 – Numerologi Cina

Bagi masyarakat Cina, ‘Lucky Number’ mereka adalah nombor 8. Tahu tak yang nombor lapan dianggap nombor paling beruntung dalam numerologi Cina kerana ia membawa pengaruh yang sangat tinggi dan juga kejayaan dalam kehidupan. Bunyinya juga dalam bahasa Cina kedengaran hampir sama seperti ‘memakmurkan’. Bayangkan kalau nombor 8 itu berganda?

Pantang Larang Tahun Baru Cina

Uniknya pada Sambutan Tahun Baru Cina, mereka tidak boleh menyapu lantai, hingga membersihkan peralatan dapur. Berdasarkan kepercayaan China kuno, melakukan hal tersebut dapat membuat rezeki mereka tersapu dari rumah. Mereka harus membersihkan rumah beberapa hari sebelum perayaan menyambut pergantian tahun baru. Mereka juga akan membuang segala barangan lama yang bukan sahaja dalam bentuk fizikal tetapi termasuk dari segi fikiran juga.

Makan Besar Pada Malam Tahun Baru Cina 

Tidak lengkap Tahun Baru Cina tanpa jamuan makan besar bersama ahli keluarganya. Ia juga dipanggil jamuan pertemuan semula yang diadakan pada malam sebelum Tahun Baru dan kebiasaanya akan dibuat di rumah anggota keluarga yang paling tua. Pelbagai makanan akan dihidangkan yang lazimnya merangkumi ayam dan ikan yang dikatakan membawa tuah (berdasarkan perkataan bahasa Cina). Ikan pula tidak akan dimakan sehingga habis sebaliknya akan  disimpan semalaman, bak pepatah Cina “semoga ada lebihnya setiap tahun”.

Yee Sang Simbol Kesejahteraan

Dalam bahasa Cina, perkataan ‘Yee’ bermaksud ikan yang turut membawa makna iaitu kekayaan berkekalan. Manakala perkataan ‘Sang’ pula merujuk kepada mentah dan turut mempunyai maksud lain iaitu kebangkitan. Pendek kata, Yee Sang ini melambangkan simbol kemewahan dan panjang umur. Oh ya! Mereka juga percaya bahawa semakin tinggi Yee Sang diangkat ketika digaul, maka lebih banyak kemakmuran yang bakal dinikmati sepanjang tahun. 

Pemberian Angpau Merah

Angpau atau sampul merah ialah hadiah berbentuk wang yang ditukarkan ketika musim perayaan atau peristiwa khas dalam masyarakat Cina. Angpau dikenali sebagai yāsuì qián (duit menahan umur). Warna merah sampul ini pula melambangkan tuah. Pada perayaan Tahun Baru Cina, angpau biasanya diberi oleh yang sudah berkahwin kepada yang belum berkahwin. Sesiapa yang belum berkahwin layak menerimanya tanpa mengira usia.

Tarian Singa Tradisi Tahun Baru

Tarian singa sinonim dengan sambutan Tahun Baru Cina. Berdasarkan kepercayaan masyarakat Cina, tarian singa bukan hanya sekadar untuk menghibur, sebaliknya dipercayai mampu membawa tuah pada masa akan datang. Ini kerana, sudah menjadi kepercayaan kepada masyarakat kaum Cina bahawa dengan mengadakan tarian singa ia dipercayai mampu membawa tuah dan kekayaan (rezeki) kepada mereka selain ia merupakan tarian tradisional masyarakat mereka.

2021: Tahun Baru Lembu!

Tahun ini adalah tahun lembu yang akan bermula pada 12 Februari 2021. Rendah dan stabil menandakan watak lembu. Mereka yang dilahirkan pada tahun lembu mempercayai bahawa dirinya mempunyai perwatakan yang sama dengan mereka seperti rajin, boleh dipercayai, kuat dan bertekad dan juga seorang pemimpin yang setia. Kadang kala, mereka akan bertindak keras kepala kerana kekok dalam bercakap.

Facebook
Twitter
WhatsApp

Related Posts