fbpx

Throwback Permainan Kanak-Kanak Zaman Dahulu

Siapa masih ingat permainan waktu kecil-kecil dahulu? Permainan yang menghiburkan dengan hanya menggunakan apa yang ada di sekeliling saja dan pastinya kalau dah main tak ingat nak balik rumah sampai kena marah dengan mak ayah.  Kali ini jom kita throwback beberapa permainan kanak-kanak yang popular pada zaman dahulu.

Lat tali lat tali tamplom, siapa jadi?

1. Congkak

Antara permainan popular yang dimainkan oleh dua orang dengan menggunakan biji getah ataupun guli dan juga papan berlubang yang seakan dengan sampan. Jika tiada papan, boleh juga menggunakan tanah dengan cara mengorek beberapa lubang untuk mula bermain. Cara bermain sangat mudah, pemain perlu mengisi ‘buah’ ke dalam deretan lubang dan mengumpul mata setiap kali melalui ‘rumah’. Langkah pemain akan mati jika buah terakhir berhenti di lubang kosong dan kemudiannya akan bertukar giliran dengan pemain yang lain sehinggalah semua buah diisi dalam rumah masing-masing. Siapa paling banyak buah dialah yang akan menjadi juara!

2. Ceper / Penutup Botol

Menggunakan 5 penutup botol minuman dan ia boleh dimain secara beramai-ramai. Pemain perlu memutar timbunan penutup botol dan pihak lawak akan menyuruh untuk menjentik ceper dengan melanggar ceper yang lagi satu. Setelah semua ceper berlanggar, pemain akan menimbang penutup botol di tangan untuk mengumpul mata iaitu 1 penutup botol yang ditangkap bersamaan dengan 2 mata. Jika pemain gagal menangkap jumlah seperti ditimbang, tiada mata yang akan dikumpul. Permainan diteruskan jika pemain berjaya dan giliran akan bertukar apabila pemain gagal melanggar penutup yang lain.

3. Lompat Getah / Zero Point

Permainan DIY dengan hanya menggunakan gelang getah dan kemudiannya dicamtum sebanyak yang mungkin untuk membentuk sebuah tali panjang. Permainan ini memerlukan sekurang-kurangnya 3 orang pemain di mana 2 orang akan memegang getah di setiap penghujung dan dihayungkan tali tersebut, manakala seorang lagi perlu melompat mengelak terkena dengan tali getah ketika ia diayunkan. Permainan ini untuk melihat berapa pusingan yang mampu setiap orang lakukan dan jikan terkena perlu bertukar giliran, siapa yang banyak melompat elak tali dialah yang paling power!

4. Teng Teng / Ketinting

Mesti semua orang pernah main permainan ni kan? Hanya memerlukan gelanggang yang kecil kemudian dilukis menggunakan kapur tak pun bagi yang bermain di atas tanah, ia juga boleh dilukis menggunakan ranting kayu untuk membentuk 9 kotak.  Seronok untuk dimain, pemain perlu membaling buah dan kemudiannya melompat dengan 1 kaki dalam gelanggang yang mempunyai untuk membina rumah. Sekiranya buah berhenti di gelanggang yang salah, giliran akan bertukar. Paling penting, wajib untuk ikut urutan ye.

5. Lompat Tikus

Permainan yang seronak dan boleh dimainkan beramai-ramai, pasti akan kecoh dengan gelak ketawa. Ia memerlukan penggunaan tenaga yang sedikit banyak kerana permainan ini perlu melepasi halangan yang dibina oleh dua orang dengan menggunakan tangan. Pemain boleh memilih pelbagai cara iaitu dengan larian, lompatan ataupun merangkak untuk berjaya melepasi rintangan pihak lawan. Semakin lama, halangan akan menjadi makin sukar dari segi ketinggian dan pemain perlu kreatif memikir cara untuk menang dalam permainan.

6. Polis Entry

Polis entry one two jaga, polis mati pencuri jaga” 2 kumpulan akan dibentuk ditentukan dengan lagu tadi untuk memilih siapa jadi polis dan pencuri dan pastinya memerlukan pemain yang ramai untuk lebih meriah. Team polis akan mula mengira dan kemudian team pencuri perlu berlari ataupun menyorok untuk elak ditangkap oleh team polis. Pencuri yang ditangkap boleh dibebas oleh rakan pencurinya melalui ‘sep’ dan ada juga yang menggunakan ‘twit’ untuk berehat seketika. Team polis akan menang jika semua pencuri berjaya ditangkap. Elok-elok bermain jangan sampai jatuh terluka sudah.

7. Baling Tin

Lebih kurang sama dengan baling selipar, cuma permainan ini menggunakan susunan tin untuk dijatuhkan. Permainan ini dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu pelontar & penyerang. Pasukan pelontar perlu baling selipar ke arah tin-tin untuk dijatuhkan, kemudian kena susun kembali tin-tin ke kedudukan asalnya. Namun begitu, mereka perlu elakkan diri daripada menjadi mangsa pasukan penyerang yang akan membaling selipar ke arah mereka. Jika pasukan pelontar berjaya menyusun tin-tin tanpa diserang, mereka akan mendapat mata. Sebaliknya, pasukan penyerang akan mendapat mata jika berjaya mematikan pelontar sebelum sempat menyusun tin-tin.

8. Batu Seremban / Selambut

Permainan ini memerlukan 5 ke 7 biji ketulan batu ataupun cara yang lebih menarik dengan membuat uncang dengan kain perca dan diisi dengan biji kacang hijau membentuk ketulan. Permainan ini boleh dimain beramai-ramai secara bergilir-gilir dengan cara pemain perlu menangkap setiap buah bermula buah 1 hingga buah 8 dan diakhiri dengan menimbang untuk mengumpul mata. Jika gagal untuk menangkap buah, pemain perlu menukar giliran dan terdapat pelbagai cara yang unik dalam permainan ini seperti buah hujan dan sebagainya menjadikan ia sangat menarik.

9. Main Lidi

Permainan memerlukan sebanyak lidi yang ada dan boleh bermain lebih daripada 2 orang. Sangat mudah untuk dimain tetapi memerlukan fokus dan ketelitian yang tinggi untuk mengumpul lidi. Pemainan bermula dengan melepaskan genggaman lidi yang akan berselerak dan kemudiannya pemain perlu mengutip kembali lidi satu persatu tanpa menyentuh lidi yang lain. Jika terkena, pemain perlu menukar giliran sehingga semua lidi habis dikutip. Siapa yang kumpul lidi paling banyak dialah yang akan jadi pemenang.

10. Tarik Upih

Permainan yang popular bagi kanak-kanak yang membesar di desa kerana ia memerlukan kawasan yang luas untuk bermain. Pemain perlu membuat kumpulan dengan mempunyai 2 orang ahli di mana di mana seorang akan duduk di atas upih dan seorang lagi akan menjadi tukang tarik upih. Lagi menarik jika dimain seperti sebuah pertandingan dengan berlumba setiap kumpulan untuk sampai ke destinasi terakhir. Siapa yang pertama sampai akan menang tapi hati-hati kang tergolek kawan yang duduk di atas upih jika terlalu laju.

11. Konda Kondi

Permainan ini menguji kepintaran pemain dalam memukul kayu & mengelak daripada disambut oleh pemain lawan. Pemain memerlukan kayu kecil diletakkan melintang pada permukaan lubang dan kayu panjang iaitu untuk memukul. Untuk bermain, perlu dibahagikan kepada dua kumpulan di mana yang menyungkit perlu memgelak kayu kecil disambut oleh kumpulan lawan, jika disambut mereka akan mati. Pasukan lawan yang tidak berjaya menyambut kayu kecil perlu membaling kayu dalam lubang untuk mematikan seorang ahli dalam kumpulan yang menyungkit.

12. Datuk Harimau

Pukul berapa Datuk Harimau” Inilah ungkapan yang akan dinyanyikan dalam permainan ini. Seorang pemain perlu menjadi harimau dan para pemain lain akan menyanyikan lagu ini daripada pukul 1 sehingga pukul 12. Apabila sudah sampai ke pukul 12, harimau akan terus mengejar para pemain lain. Jika pemain ditangkap oleh harimau, dia akan bertukar tugas sebagai harimau.

Facebook
Twitter
WhatsApp

Related Posts