22 Mac 2021 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Balai Seni Negara menganjurkan Pertandingan Bakat Muda Sezaman 2021 (BMS21). Anugerah BMS21 adalah pertandingan seni visual dwitahunan terbuka kepada para seniman di bawah umur 35 tahun. BMS ini mula dianjurkan oleh Balai Seni Negara sejak tahun 1974 yang diilhamkan dari program New Contemporaries di London. Sejak diperkenalkan, BMS telah melalui penambahbaikan secara berterusan sehingga berjaya diterapkan sebagai platform berprestij yang diperakui sebagai persada kelahiran bakat-bakat muda tersohor negara.
Pertandingan pada kali ini bertemakan “Seni di Lokasi” dimana seniman membangunkan karya fizikal di satu lokasi terpilih dari mana-mana lokasi di Malaysia yang difikirkan sesuai. Pertandingan ini mengetengahkan idea-idea dan realiti budaya kontemporari yang juga mewarisi pandangan alam Asia Tenggara, dalam pendekatan baharu.
Pertandingan ini juga boleh disertai secara berkumpulan. Hadiah yang ditawarkan terdiri daripada Anugerah Pertama (Major Award) berbentuk wang RM40,000.00 dan Anugerah Juri sejumlah RM15,000.00. Terdapat juga 3 kategori untuk pemenang bagi Anugerah Pilihan Pelawat Online dan Anugerah Pilihan Pelawat On Site.