Hari Raya antara yang hari dinanti-nantikan setiap tahun untuk meraikan sebuah kemenangan selepas berakhirnya bulamn Ramadan. Dan antara yang menariknya adalah dengan hidangan istimewa yang akan kita lihat seperti contohnya aneka biskut raya. Dari pelbagai jenis, warna dan rasa yang menjadikan biskut raya menjadi tumpuan orang untuk dijamah, ada yang masih mengikut tradisi dan ada juga yang sudah dimodenkan mengikut cita rasa masing-masing.
Ada yang kata tak lengkalah raya kalau tak dihidangkan biskut raya! Jadi jom kita pilih yang masa satu kuih raya favoutite yang wajib ada dimakan pada Hari Raya nanti:
Cornflakes Madu
Rasa manis dan kerangupannya memang tidak dapat ditandingi. Dah habis sebalang pun tak sedar. Kuih ini akan membuat kita terleka dengan keenakannya. Rasanyalah kuih raya ni yang paling simple dan mudah untuk dibuat. Bahan-bahan yang diperlukan juga tak banyak dan mudah didapat. Anda hanya perlukan cornflakes, madu, mentega dan gula kastor sahaja. Untuk ‘topping’, ada boleh menggunakan ceri atau taburan manik mengikut kreativiti sendiri manakala paper cup digunakan untuk membungkusnya. Ada juga variasi lain di mana madu digantikan dengan coklat mengikut cita rasa masing-masing.
Tart Nanas
Tart Nenas adalah antara kuih raya paling popular dan wajib ada pada hari raya. Gerenti mesti ada kuih ni di setiap rumah. Teksturnya yang gebu dan rapuh membuatkan ianya seolah-olah cair di dalam mulut. Ditambah pula dengan inti jem nenas, semestinya satu saja tidak mencukupi. Tapi ada juga variasi moden di mana inti jem ditukar kepada coklat, jem blueberry, strawberry dan bentuknya juga berlainan seperti tart nenas gulung, tart nenas daun, tart nenas nona bentuk nenas, tart nenas bunga klasik, tart nenas bunga moden dan banyak lagi.
Biskut Crunchy Caramel Almond
Biskut crunchy caramel almond atau lebih dikenali sebagai florentine adalah berasal Eropah. Apa yang menarik tentang kuih ini ialah resepinya langsung tidak menggunakan cecair! Bahan-bahan yang diperlukan adalah dari kacang-kacangan dan tepung florentine. Rasanya manis serta rangup. Bentuknya pelbagai, ada yang bulat juga persegi. Yang paling penting sedap dan mudah untuk dibuat. Semestinya kerangupan dan kesedapan kuih raya mewah ini pasti membuatkan anda berkali-kali menjamahnya. Antara pilihan mereka yang meminati biskut raya moden.
Almond London
Ini juga kuih wajib di hari raya. Kalau takda kuih ni, macam tak completed raya. Nama kuih ini cukup glamor. Mesti korang hairankan kenapa kuih raya ni nama almond london. Datang dari londonkah? Almond London terhasil dari Almond Land On. ‘Land On’ tersebut merujuk racikan kacang Almond yg land on (mendarat) atas biskut yang sudah disiapkan. Merentas zaman, dari Land On, beralih menjadi London dan kekal sebutannya menjadi Almond London. Kuih bersalut coklat ini mempunyai inti biji badam yang dibakar rangup, seterusnya menjadikan bentuknya bujur seperti bola ragbi.
Biskut Semperit
Nama kuih semperit ini diambil daripada cerita seorang makcik pembuat kuih raya. Ceritanya bermula apabila mak cik pembuat kuih raya ini ingin membuat kuih raya bagi satu tahun di mana kebanyakan rakyat pada waktu itu berada dalam kesempitan ekonomi yang melanda dengan teruk. Oleh itu, makcik tersebut membuat sejenis kuih yang sangat ekonomikal agar orang mampu untuk membeli kuih raya. Dari situlah terhasilnya nama Semperit berdasarkan kepada keadaan semasa rakyat dalam keadaan yang sempit serta perit. Kelakar juga namanya kan? Ia juga hadir dengan pelbagai variasi dan warna.
Biskut Kacang
Biskut kacang atau lebih dikenali sebagai mazola merupakan biskut raya legend time hari raya. Bagi penggemar kacang, pasti mereka tercari-cari kuih ini. Biskut mazola ini sememangnya sedap kerana ia cair dimulut. Biskut mazola ini wajib anda masukkan dalam senarai kuih raya anda. Bukan sahaja digemari kanak-kanak, malah orang dewasa dan warga emas juga sangat menyukainya. Rasa kacang yang lemak-lemak manis membuatkan ramai ketagih dengannya. Biskut ini diadaptasikan daripada minyak jagung Mazola yang merupakan salah satu bahan utama dalam resepinya.
Batang Buruk
Batang buruk antara sejenis biskut tradisi yang popular di Malaysia. Ia merupakan sejenis kuih yang dibuat daripada tepung gandum dicampur dengan tepung beras dan tepung kelapa yang diuli buat menjadi doh dan dibentuk membentuk silinder bulat berongga, dan diisi dengan serbuk kacang hijau yang di goreng. Nama kuih batang buruk kemungkinannya disebabkan dari rupanya yang berbentuk batang pokok tetapi diselitupi dengan serbuk kacang hijau menjadikannya seperti kayu buruk. Semasa membentuk doh, biasanya batang daun betik digunakan bagi membentuk doh silinder
Biskut Lidah Kucing
Biskut lidah kucing atau nama glamornya rainbow cookies sangatlah menarik kerana warnanya yang berwarna-warni. Biskut ini dipanggil biskut lidah kucing kerana berbentuk seperti lidah kucing . Rasanya manis dan rangup. Biskut ini adalah biskut yang dipengaruhi oleh Belanda kerana hubungan sejarah antara Indonesia dan Belanda. Di Belanda, biskut ini dikenali sebagai Katte Tong. Biskut ni memang favourite kanak-kanak kerana warnanya yang menarik perhatian. Tips penting dalam pembuatan biskut ini adalah jangan terlebih bakar kerana akan menampakkan warna yang tak cantik.
Nampak sedap je kan semua kuih raya ni. Ini baru sahaja sedikit kuih raya yang kami senaraikan. Kalau nak senaraikan kesemuanya, sampai raya puasa tahun depan pun tak akan habis! Kepada mereka yang merancang untuk mula membuat biskut raya sebelum raya ni, selamat membuatnya ya! Walaupun kita raya dalam keadaan masih PKP, gunakan masa yang ada ini untuk mencuba resepi kuih favourite, manalah tahu ada bakat boleh tambahg rezeki dengan menjual pula.