Nak pinjam buku dengan cara mudah? Memperkenalkan u-Pustaka, pusat bahan digital negara. Perkhidmatan ini dapat diakses oleh seluruh rakyat Malaysia pada bila-bila masa dan di mana jua berada melalui portal u-Pustaka.
Perkhidmatan u-Pustaka merupakan satu inovasi kolaboratif dari Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dengan sokongan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) serta ahli-ahli Konsortium u-Pustaka yang terdiri daripada beberapa perbadanan perpustakaan negeri seperti Selangor (PPAS) dan Melaka (PERPUSTAM).
Keahlian u-Pustaka adalah PERCUMA kepada seluruh rakyat Malaysia. Antara kelebihan ahli u-Pustaka ialah boleh meminjam sehingga tiga buku fizikal dari 12 perpustakaan konsortiumu-Pustaka di 6 negeri ataupun boleh dihantar terus ke rumah anda melalui perkhidmatan Pos Laju dengan kadar yang berpatutan.
Untuk bahan digital pula, u-Pustaka menyediakan lebih 52.9 juta akses seperti buku audio, buku elektronik dan jurnal. Dalam waktu terkini, semua bahan digital boleh didapati secara PERCUMA untuk anda nikmati bersama-sama keluarga dalam semua lingkungan umur dari pagi hingga ke malam.
Sehingga kini, lebih 540,000 pengguna sudah menjadi ahli u-Pustaka dan mencapai akses bacaan digital secara mudah. Mungkin anda juga boleh menjadi ahli yang seterusnya. Bak kata orang, peluang sudah berada di depan mata. Utamakan Pengetahuan, Ingatlah u-PUSTAKA.Mari kita lihat cara-cara untuk mendaftar keahlian u-Pustaka. Ikuti langkah-langkah mudah ini.
- Layari portal u-Pustaka
- Pilih Daftar untuk mencipta akaun baru
- Sila pilih Mykad/Mykid/PemegangPPR (warganegara) atau pilih Warga Asing (bukan warganegara), kemudian klik Daftar Sekarang
- Masukkan nama dan nombor kad pengenalan
- Lengkapkan maklumat peribadi anda
- Anda akan menerima satu emel pengaktifan u-Pustaka
- Buka emel yang di daftarkan kemudian tekan pada link pengaktifan
- Portal u-Pustaka kini boleh di akses menggunakan kata laluan yang di beri (anda digalakkan untuk menukar kata laluan yang baru)