fbpx

Gabungan Tradisi-Moden Seni Wayang Kulit

Tidak salah untuk kekalkan nostalgia asalkan selari dengan peralihan masa. Dahulu, kita kenali wayang kulit sebagai bentuk persembahan dengan watak-watak sejarah seperti laksamana yang diserikan dengan alunan muzik yang mengasyikkan. Kini, wayang kulit masih diteruskan dan yang menariknya terdapat evolusi yang selaras dengan peredaran zaman.

Bermulanya wayang kulit ini dengan menggantikan karakter dengan figura zaman kini untuk memberikan nafas baru yang dikenali sebagai Fusion Wayang Kulit. Walaupun berbeza karakter yang digunakan, ia masih mengekalkan teknik pembuatan yang asli, masih menggunakan muzik tradisional dalam persembahan dan mengekalkan penceritaan melalui Tok Dalang sebagai salah satu cara untuk menghargai budaya tradisi yang jarang-jarang kita dengar.

Pereka Idea / Watak

Mungkin perkara ini dilihat sebagai satu cabaran untuk menaikkan balik industri wayang kulit tetapi jika meminati dan menghargai dengan sesuatu perkara, tiada yang mustahil. Tintoy Chuo merupakan pengasas Fusion Wayang Kulit, menggunakan peluang ini untuk memartabatkan lagi seni wayang kulit. Beliau mengatakan bahawa industri wayang kulit berpotensi untuk menjadi antara hiburan dan ia dimodenkan untuk menarik minat orang ramai untuk melihat seni budaya ini.

Dari proses tersebut, beliau berjaya menghasilkan watak-watak moden berinspirasi filem Star Wars, DC Super-Heroes dan pelbagai lagi karakter menarik dalam bentuk wayang kulit. Beliau juga mampu menghasilkan wayang kulit berinspirasi karakter sebenar seperti Ed Sheeran, penyanyi Inggeris yang dicipta khas dalam sebuah projek bersama Warner Music Malaysia.

Tok Dalang

Dalam menghasilkan seni tradisi, kita mestilah mempunyai rujukan daripada individu yang berpengalaman. Untuk seni wayang kulit, Tok Dalang ialah individu yang sangat penting. Tintoy melakukan kerjasama dengan seorang Tok Dalang bernama Pak Daim yang sangat terbuka dengan idea memodenkan watak wayang kulit ini. Dalam proses menghasilkan watak, segala ciri-ciri domestik wayang kulit sangat ditekankan untuk memastikan ianya masih dibuat dengan cara yang betul. Seperti contoh, karakter bersayap akan dipastikan kedua-dua sayap di bekalang agar tidak terlindung dengan wajah. Juga diselitkan pakaian seperti sarong dan ukiran corak tradisional bagi mengekalkan identiti nusantara wayang kulit.

Persembahan

Mungkin kebanyakan daripada kita biasa menonton filem seperti Star Wars, tetapi pernah tak terfikir filem ini dalam seni persembahan wayang kulit? Dalam projek pertama, Tintoy dan Pak Daim menghasilkan karakter wayang kulit berinspirasikan watak filem Star Wars. Dari situ jugalah idea untuk melakukan persembahan berjudul Peperangan Bintang dimulakan. Pembikinan karakter tidaklah terlalu sukar tetapi cabarannya ketika menghasilkan seni persembahan kerana banyak aspek perlu ditekankan. Penghasilan jalan cerita, muzik dan pencahayaan perlu disusun dengan baik untuk memastikan semuanya tepat dan dapat disampaikan dengan betul.

Lihat video di bawah tentang Peperangan Bintang. Korang akan dapat melihat sedikit sedutan serta di sebalik tabir pembikinan seni persembahan ini. Sebagai seorang penonton, apakah pandangan korang mengenai persembahan ini?

Adalah sangat penting untuk kita menghargai seni budaya sendiri bagi mengelakkan ia hilang ditelan zaman. Tidak salah juga untuk kita menyelitkan elemen moden dalam sesebuah seni tertentu bagi membuka minda masyarakat tentang pentingnya seni, tetapi perlulah dihasilkan dengan cara yang betul dan tidak bercanggah dengan idea asal. Dengan ini, kita akan menarik minat generasi baru untuk lebih mengenali dan mempelajari seni budaya ini.

Latar Belakang Fusion Wayang Kulit

Fusion Wayang Kulit ialah sebuah kumpulan wayang kulit yang ditubuhkan pada 2012 oleh Tintoy Chuo dan Take Huat dengan kerjasama Pak Daim (Tok Dalang) sebagai ketua penasihat. Pasukan ini komited dalam mengembalikan tradisi wayang kulit secara moden serta digital supaya budaya ini dapat dijaga dengan rapi di tanah air dan dalam masa yang sama berkembang secara antarabangsa sebagai salah satu bentuk hiburan. Antara pengiktirafan yang diterima ialah anugerah Augustman’s Men Of The Year dan anugerah Global Pioneer X Laureate. Mereka juga telah membuat persembahan di luar negara seperti di China, Austria dan Germany.

Facebook
Twitter
WhatsApp

Related Posts