Percutian ala-ala homestay merupakan salah satu tarikan yang menjadi pilihan ramai bagi merasai pengalaman yang lebih dekat mengenai kehidupan dan rutin sebagai penduduk lokal bagi sesebuah kawasan. Semestinya pengalaman yang diberikan sangat berbeza kerana kita akan tinggal sebumbung atau berdekatan dengan tuan rumah menjadikan kita seperti keluarga angkat mereka sepanjang menetap di homestay.
Kali ini, Locco ingin berkongsikan pengalaman menginap di salah sebuah homestay di Kg. Sarang Buaya yang terletak di sempadan Muar dan Batu Pahat di negeri Johor.
Homestay Teratak Kasih Nilam
Homestay ini berkonsepkan rumah kampung yang telah diubah suai moden kotemporari bagi memberi kemudahan yang sepenuhnya kepada tetamu yang menginap dengan menyediakan tandas dalam setiap bilik tetamu, mempunyai ruang tamu yang luas dan juga bilik tidur yang selesa.
Di bahagian luar homestay pula terdapat ruang yang besar untuk sebarang aktiviti di jalankan dan juga terdapat Balai Penanggah yang dibangunkan oleh penduduk kampung di bahagian halaman rumah sebagai tempat untuk penyediaan makanan serta digunakan sebagai tempat menjamu selera.
Locco disajikan dengan makanan tradisi masyarakat jawa di sini iaitu Nasi Ambeng – nasi dengan campuran lauk seperti Ayam Masak Kicap, Sambal Goreng Jawa, Mee Goreng dan Serunding yang dimakan beramai-ramai dalam talam. Ia merupakan cara tradisi orang kampung untuk mengeratkan hubungan ketika kenduri berlangsung.
Aktiviti lain yang boleh dibuat di homestay ini adalah dengan bermain kayak menyusuri parit yang terletak di belakang rumah homestay sahaja. Pemandangan yang disediakan sangat cantik dan tenang menjadi salah satu sajian mata yang tidak dapat dilupakan di sini.
Pada belah malam pula, Locco berpeluang untuk melihat persembahan kebudayaan yang disediakan di homestay ini dan kami berpeluang melihat aksi lincah silat pada malam tersebut.
Kemudian kami akhiri malam dengan bermain permainan tradisional seperti Batu Seremban dan Congkak. Memang terasa seperti menjejakkan kaki di kampung sendiri kerana layanan orang kampung membuatkan kita tidak kekok untuk bergaul.
Antara aktiviti lain yang boleh dilakukan di kawasan luar homestay bagi merasai dan melihat keunikan yang ada di Kg. Sarang buaya adalah seperti berikut:
Melawat Sawah Sungai Balang @ Homestay Santai D’Sawah
Selain itu, pemandangan yang cantik pada belah petang juga boleh dirasai berdekatan dengan kawasan homestay iaitu melawat kawasan sawah padi. Jika bernasib baik, kawasan bendang mungkin sedang menguning menandakan padi sudah masak dan tunggu untuk dituai, ditambah pula suasana matahari terbenam pasti memukai mata untuk mengamati keindahan suasana kampung yang wujud di sini. Terdapat juga sebuah homestay di sana iaitu Homestay Santai D’Sawah yang anda boleh menyewa basikal untuk bersiar-siar di sekitar kawasan sawah padi.
Melihat Pembuatan Kopi Kampung @ Kupi Nang Ajes Cafe
Jika anda peminat kopi, Kupi Nang Ajes Cafe merupakan lokasi yang wajib anda pergi untuk merasai sendiri rasa kopi di sini dan juga mnelihat pembuatan kopi di hadapan mata anda sendiri. Pelbagai info boleh didapati dari melihat proses penjemuran biji kopi, pembakaran biji kopi, pengisaran dan sebagainya yang mungkin jarang-jarang kita nampak. Kemudian, kita akhiri dengan merasai sendiri rasa kopi yang dihasilkan di kafe.
D’Impiana Agro Farm
Sebelum pulang, kami sempat ke d’Impiana Agro Farm yang cukup berbeza berbanding homestay yang lain iaitu di sini mempunyai gabungan perlancongan agro dalam homestay mereka yang menyediakan pengalaman berada di kawasan ladang pertanian. Pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di sini seperti melihat dengan lebih dekat penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan di sini, ternakan ikan Talapia Merah, kandang kambing dan pelbagai lagi yang anda boleh rasai berkaitan agro di sini.
Percutian di sini bukanlah semata-mata untuk kita mendapat keselasaan tetapi ia juga memberi pengalaman yang cukup berbeza untuk para pengunjung yang memilih homestay sebagai pilihan pelancongan.
Jika anda berminat untuk merasai pengalaman di Homestay Kg. Sarang Buaya dan ingin mendapatkan m aklumat lebih lanjut, sila hubungi +60 11-3978 8817