fbpx

Nattukoothu Festival Meraikan Warisan Tarian Rakyat India di Pavilion, Bukit Jalil

KUALA LUMPUR – Pada Ahad (15 Disember) ini, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bakal mempersembahkan Nattukoothu Festival, sebuah perayaan seni tari rakyat masyarakat India yang berlangsung sempena sambutan Pongal yang bakal tiba pada Januari 2025.

Festival yang bermula jam 11 pagi sehingga 9 malam ini bukan sahaja bertujuan untuk meraikan keindahan tarian rakyat tetapi juga sebagai usaha memelihara seni warisan budaya ini agar terus hidup subur dalam jiwa masyarakat Malaysia.

Nattukoothu Festival, yang bermaksud “tarian rakyat” dalam Bahasa Tamil, adalah sebahagian daripada projek Penilaian Tahun Akhir (PeTA) pelajar tahun 3 Fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan ASWARA.

Berbeza daripada tarian klasik yang sering mendominasi acara budaya, festival ini memberi fokus kepada tarian rakyat seperti Kummi, Kolattam, Pinnal Kolattam, Garba, Dandiya Raas Garba, dan banyak lagi, dengan inspirasi diambil daripada buku “Dancing For Themselves” karya Mohan Khokar.

Lebih daripada sekadar persembahan tarian, festival ini juga mengajak pengunjung untuk mengalami pengalaman budaya secara langsung melalui Zon Interaktif yang membolehkan mereka mencuba pakaian tradisional India, bermain alat muzik Urumi Melam, serta menikmati pelbagai makanan dan barangan tradisional.

Majlis perasmian festival ini bakal disempurnakan oleh Rektor ASWARA, Profesor Dr Tan Awang Besar, bersama Yang Berbahagia Dr. Nagulendran Kangayatkarasu Kemen, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan.

Dengan gimik simbolik, Rektor memukul Urumi Melam, diikuti persembahan Pinnal Kolattam, sebuah tarian unik dalam bulatan yang melambangkan kesatuan komuniti dan hubungan erat antara masyarakat.

Acara ini akan turut dimeriahkan oleh persembahan kumpulan tarian terkenal seperti Temple of Fine Arts, Kalpana Dance Theatre, Fusion Dance Studio, Sarveshwara Dance Academy, serta koreografi khas Pinnal Kolattam oleh Muneswaran Palsamy dari Vehaara Arts.

Tumpuan utama festival ini adalah persembahan Mega Garba selama 10 minit pada sebelah malam, yang pastinya akan memukau semua pengunjung.

Dengan kehadiran Nattukoothu Festival, ASWARA berharap generasi muda akan lebih menghargai seni warisan tarian rakyat India yang kian dilupakan, sekaligus memastikan keindahan warisan ini terus mekar dalam masyarakat Malaysia.

Jangan lepaskan peluang untuk merasai pengalaman budaya yang unik dan asli yang sekaligus meraikan kebersamaan rakyat Malaysia di Nattukoothu Festival!/LOCCO

Facebook
Twitter
WhatsApp

Related Posts