fbpx

KL City Hunt 2025 Membuka Mata Tentang Keunikan Bandaraya Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Ibu kota Kuala Lumpur bertukar menjadi medan pengembaraan penuh aksi pada 21 Julai 2025 yang lalu apabila lebih 80 pasukan yang turut melibatkan 10 pasukan daripada media dan pempengaruh (KOL) berentap dalam acara KL City Hunt 2025 yang berlangsung di Lanai, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC).

Berbekalkan semangat, strategi dan akses pengangkutan awam, setiap pasukan perlu meredah jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur (KL) untuk menyelesaikan pelbagai tugasan mencabar seperti membuat kandungan mempromosikan makanan jalanan dan mercu tanda ikonik sambil merungkai kisah sejarah di sebalik setiap lokasi. KL City Hunt 2025 telah membuka mata ramai tentang tarikan lain yang wujud di KL selain destinasi popular dan kulinari terkenal.

Acara ini dianjurkan oleh Tourism Malaysia Wilayah Tengah bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan matlamat memperkenalkan KL sebagai destinasi yang menyeronokkan dan sarat dengan aktiviti pelancongan bandar. Peserta melaksanakan misi bersama 3 hingga 4 ahli untuk merebut hadiah keseluruhan bernilai berjumlah RM15,500 sambil menerokai destinasi menarik, budaya dan mencungkil cerita menarik komuniti di sekitar ibu kota yang sering terlepas pandang.

“KL City Hunt adalah inisiatif hebat untuk menggalakkan aktiviti pelancongan bandar, khususnya ketika musim cuti hujung minggu, dengan meneroka produk pelancongan sekitar Kuala Lumpur,” ujar En Sufian Zainuddin, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Tengah.

Tambah meriah, para media dan KOL turut berkongsi pengalaman secara langsung di media sosial, sekali gus menarik perhatian generasi muda untuk melihat KL dengan perspektif baharu.

Juara KL City Hunt 2025 membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 dan berjaya dirangkul oleh pasukan Cuba Nasib Nak Menang.

KL City Hunt 2025 kini melabuhkan tirainya dengan penuh jayanya dan dijangka akan terus berpanjangan impak pelancongan dalam memberi kesedaran kepada orang ramai tentang keunikan yang wujud di sekitar Kuala Lumpur.

Facebook
Twitter
WhatsApp

Related Posts