Istana Budaya menyasarkan pembukaan semula seawal Julai 2026, dan bagi mereka yang menyayangi dunia seni persembahan tanah air, berita ini sudah cukup untuk menarik nafas lega.
Penutupan sementara bukan tanda pengabaian. Selepas kerja-kerja naik taraf bumbung siap sepenuhnya pada Januari lalu, pihak pengurusan mendapati penggunaan kemudahan pentas Panggung Sari masih tertakluk kepada perakuan keselamatan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022.
Akta ini mewajibkan semua peralatan mekanikal termasuk sistem yang menggerakkan platform pentas serta sistem atas pentas untuk lampu, tirai dan set — mendapat kelulusan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sebelum boleh digunakan.
Proses itu sedang berjalan dengan baik. JKKP telah mengeluarkan kelulusan bersyarat bagi sistem bawah pentas, sementara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pula telah mengemukakan permohonan kedua bagi kebenaran penggunaan minimum sistem atas pentas.
Sambil menunggu, pengurusan Istana Budaya tidak juga duduk diam. Mereka sedang mengenal pasti pelbagai bentuk persembahan yang boleh diteruskan dalam keadaan semasa – konsert berskala sederhana, persembahan muzik, stand-up comedy, majlis korporat dan program komuniti semuanya ada dalam perancangan. Ruang alternatif seperti Lambang Sari dan Laman Santai akan dioptimumkan bagi memastikan ekosistem seni kekal berdenyut.
Sebanyak 17 program telah pun dikenal pasti untuk tahun ini, antaranya Laman Santai Seni Budaya: 2 Dekad, Teater Muzikal Kanak-Kanak Pengembaraan Sang Kancil, NSO with Aubrey Suwito – Pop Meets Symphony serta Lambang Sari Showcase with Your Star.
Bagi Timbalan Ketua Pengarah (Operasi, pemangku) Johan Cruyff @ Mohd Johari Md Nordin yang dipetik Bernama, hasrat itu jelas; Istana Budaya bukan sekadar gedung persembahan. Ia adalah institusi – satu warisan negara yang perlu dipulihkan maruahnya sebagai pentas bertaraf dunia, tanpa sebarang kompromi terhadap keselamatan.
Tabir akan naik semula. Ia hanya memerlukan masa untuk dilakukan dengan betul./LOCCO



