Terlepas Lenggong Outdoor Festival 2026? Percayalah … Anda Akan Menyesal Lama

ENAM Sebab Edisi Ke-5 ODF Ini adalah yang Paling Tidak Boleh Anda Lepaskan … Serius, Jangan Cuba

Saya telah ke Lenggong lebih dari sekali. Lebih dari dua kali, sebenarnya.

Saya pernah berdiri di tepi Tasik Raban ketika matahari baru sahaja naik, kabus masih bergantungan rendah di atas permukaan air, dan fikiran saya — yang biasanya riuh dengan deadline dan mesyuarat dan senarai tugasan yang tidak pernah habis — tiba-tiba sunyi. Betul-betul sunyi. Bukan sunyi sebab tiada apa yang berlaku. Sunyi sebab semuanya yang sedang berlaku di hadapan mata saya sudah cukup.

Saya pernah makan nasi lemak bungkus daun pisang di tepi jalan kecil Lenggong pada pukul tujuh pagi, beli daripada mak cik yang dah siap berniaga sebelum dan saya boleh kata dengan jujur bahawa ia adalah antara sarapan pagi paling sedap yang pernah saya makan sebenarny

Saya pernah menyaksikan budak berumur lapan tahun melompat masuk ke dalam tasik untuk pertama kalinya dalam hidupnya, jerit sekuat hati dan kemudian segera berenang balik ke tepi untuk buat lagi.

Saya pernah duduk dalam bulatan orang yang tidak saya kenal dua jam sebelumnya, berkongsi cerita di bawah langit malam yang gelap dan penuh bintang, dan terasa (dengan cara yang susah untuk dijelaskan dalam tulisan) bahawa ini adalah jenis malam yang akan saya ingat.

Itulah Lenggong. Itulah ODF.

Dan tahun ini, festival ini masuk ke edisi ke-5 nya. Lima tahun. Satu dekad separuh. Bagi sebuah festival outdoor komuniti di sebuah lembah yang ramai orang masih belum tahu cara nak sebut namanya dengan betul — ini adalah pencapaian yang bukan kecil.

Dan kalau anda pernah terfikir, “Ah, tahun depan lah,” biar saya kongsikan enam sebab kenapa kata-kata itu mungkin adalah antara kata-kata yang paling anda akan sesali.

1. Tasik Raban Adalah Tempat Yang Anda Tak Tahu Anda Perlukan – Sehingga Anda Sampai Di Sana

Jujur. Berapa ramai antara anda yang tahu Tasik Raban wujud sebelum membaca artikel ini?

Bukan salah anda. Malaysia penuh dengan tempat-tempat yang cantik yang entah kenapa tidak pernah masuk dalam radar perancangan percutian kita. Kita terbang ke Bali, kita drive ke Langkawi, kita beratur panjang di Cameron Highlands — tapi Tasik Raban, yang tersembunyi di dalam pelukan Lembah Lenggong yang diiktiraf UNESCO, kita biarkan saja begitu.

Saya sudah ke banyak tasik di Malaysia. Saya juga sudah ke beberapa tasik di luar negara. Dan saya boleh kata ini dengan keyakinan penuh seorang editor yang tidak gemar melambung-lambungkan sesuatu: Tasik Raban ada sesuatu yang berbeza.

Ia bukan tasik yang dibina untuk pelancong. Ia bukan surrounded by resort berbayar mahal atau restoran floating yang Instagram-friendly. Ia adalah tasik yang hidup dengan cara tersendiri — tenang, luas, surrounded by bukit-bukau hijau yang tidak ada papan iklan, tidak ada bunyi hon, tidak ada apa-apa yang mengingatkan anda bahawa anda sebenarnya baru beberapa jam memandu dari Ipoh.

Waktu ODF berlangsung, tasik ini bertukar menjadi pentas utama. Windsurfing, kayak, Stand Up Paddleboard, aktiviti air untuk kanak-kanak — semuanya berlangsung di atas permukaan air yang sama yang, kalau anda datang pada waktu pagi sebelum semua orang bangun, akan kelihatan seperti cermin yang besar.

Kalau anda belum pernah berdiri di tepi air seperti ini dan rasa dada anda terbuka sedikit — ini musimnya.

2. Edisi Ke-5 Ini Bukan Sekadar Anniversary – Sebaliknya, Puncak Lima Tahun Pengalaman

Setiap tahun, saya lihat ODF tambah sesuatu. Bukan sekadar aktiviti baharu atau gerai baharu. Sesuatu yang lebih penting dari tu — kedalaman.

Edisi pertama adalah semangat mentah. Edisi kedua mula tunjuk bentuk. Edisi ketiga, keempat — festival ini mula tahu siapa dirinya, apa yang ia mahu bagi kepada peserta, siapa yang ia mahu jemput untuk duduk semeja.

Edisi ke-5 ini adalah edisi yang sudah tahu. Ia matang tanpa kehilangan semangatnya. Ia besar tanpa kehilangan kehangatannya. Dan ia membawa masuk semua yang terbaik dari empat edisi sebelumnya — aktiviti yang sudah diuji dan disayangi, muka-muka komuniti yang sudah jadi sebahagian daripada jiwa festival ini, suasana yang tak boleh anda reka semula kalau anda cuba buat sendiri.

Lima tahun bermakna lima tahun orang bercerita kepada orang lain. Lima tahun kumpulan komuniti outdoor Malaysia mengumpul, berkongsi ilmu, dan membina sesuatu yang lebih besar dari mana-mana satu kumpulan boleh buat bersendirian.

Peserta edisi ke-5 bukan sekadar hadir ke sebuah festival. Mereka menjadi sebahagian daripada sebuah legasi.

Dan itu, kalau anda tanya saya, adalah sesuatu yang worth the drive.

3. Ini Bukan Festival “Orang Lasak” – Festival untuk Manusia Biasa yang dah Penat

Biar saya buang salah faham ini sekali dan untuk selamanya.

ODF bukan untuk trail runner yang bangun pukul 4 pagi setiap hari. Bukan untuk ultramarathoner yang makan gel energy untuk sarapan. Bukan untuk camper veteran yang boleh bina shelter dengan dua batang kayu dan satu meter tali.

ODF adalah untuk anda — ya, anda yang sekarang duduk di kerusi pejabat, baca artikel ini sambil pura-pura tengok email, dengan kaki yang tak pernah jejak hutan dalam enam bulan terakhir.

Ia untuk ibu yang nak tengok anak dia ketawa tanpa sebab yang spesifik. Untuk bapa yang nak rasa relevan dalam kehidupan anak remajanya untuk sekurang-kurangnya satu hujung minggu. Untuk pasangan muda yang mahu travel yang terasa real tanpa perlu habiskan beribu ringgit di hotel bintang lima. Untuk kumpulan kawan-kawan yang mahu sesuatu untuk diceritakan selain daripada “eh, korang tengok Netflix tu tak?”

Program ODF disusun dengan cara yang membolehkan semua orang — dari yang first-timer hingga yang sudah veteran — jumpa sesuatu yang sesuai untuk mereka. Sesi yoga di tepi tasik untuk yang nak tenang. Rappelling dan flying fox untuk yang nak adrenaline. Workshop survival skills untuk yang nak belajar sesuatu baharu. Sesi Cerita Kedai Kopi untuk yang cuma nak duduk, minum, dan sembang sampai lupa waktu.

Dan kanak-kanak bawah 12 tahun? Masuk percuma. Dengan program khas untuk mereka yang buat mereka tak mahu balik rumah.

Ini adalah festival yang akan buat anda rasa, pada penghujung hujung minggu itu: “Patutlah orang suka buat benda macam ni.”

4. Lenggong Adalah Tempat Yang Mengajar Anda Tentang Diri Sendiri – Sama Ada Anda Mahu atau Tidak

Ada sesuatu tentang Lembah Lenggong yang tidak boleh saya terangkan sepenuhnya dalam tulisan, walaupun saya sudah cuba beberapa kali.

Mungkin sebab tanah ini sudah tua dengan cara yang susah nak bayangkan. Perak Man — sisa manusia tertua di Asia Tenggara — ditemui di sini. Ia berehat dalam bumi Lenggong selama 11,000 tahun sebelum dunia tahu kewujudannya. Tapak arkeologi yang bertaburan di sekitar lembah ini adalah bukti bahawa manusia telah lama memilih tempat ini untuk hidup, untuk berlindung, untuk pulih.

Ada kemungkinan bahawa tanah yang pernah menjadi rumah kepada manusia selama ribuan tahun itu membawa sesuatu yang tidak nampak tapi boleh rasa.

Atau mungkin ia lebih mudah dari tu. Mungkin ia hanya kerana apabila anda berada jauh dari bandar, jauh dari skrin, jauh dari segala bunyi yang selama ini anda panggil “kehidupan normal” — anda mula dengar diri sendiri semula.

Saya pernah tanya seorang peserta ODF 2025 apa yang paling dia ambil balik dari festival tu. Dia diam sebentar. Kemudian jawab: *”Saya ingat balik kenapa saya pilih kerja saya dulu. Sebab saya lupa dah.”*

Lenggong buat orang berfikir. Bukan dengan cara yang berat atau menyakitkan — dengan cara yang senyap, yang baik, yang anda perlukan walaupun anda tak tahu anda perlukan dia.

5. Makanan, Komuniti, Keramahan Lenggong adalah sebahagian daripada Festival — dan ia Tidak Boleh Direplikasi

Satu perkara yang selalu buat saya ulang balik ke Lenggong adalah sesuatu yang tidak ada dalam mana-mana brochure ODF.

Ia adalah cara penduduk tempatan menyambut anda.

Saya pernah tersesat sikit dalam perjalanan ke satu kawasan sekitar Lenggong — jalan kecil, tiada signal, peta offline pun keliru. Seorang pak cik di tepi jalan bukan sekadar bagi arah. Dia tunjuk jalan sampai ke depan pintu masuk. Kemudian tanya saya dah makan ke belum.

Ini bukan cerita yang luar biasa di Lenggong. Ini cara hidup mereka.

ODF membawa masuk komuniti ini sebagai sebahagian daripada teras festivalnya. Gerai makanan dikendalikan oleh peniaga tempatan. Pemandu aktiviti adalah anak-anak Lenggong yang kenal setiap pelosok lembah ini. Program-program yang dianjurkan melibatkan kumpulan komuniti tempatan yang membawa masuk kemahiran dan cerita yang tidak ada dalam mana-mana buku panduan.

Makanan? Jangan tanya. Dari nasi lemak pagi sampai ke ikan bakar malam, selera Lenggong adalah selera yang akan buat anda cari jalan balik ke sini walaupun tiada festival. Tapi sebab ada festival — anda dapat semua tu dalam suasana yang rancak, meriah, dan penuh dengan orang yang sama-sama gembira berada di sana.

Itu adalah kombinasi yang, percayalah, susah sekali nak jumpa.

6. Kalau Bukan Sekarang – Bila?


Ini adalah soalan yang saya rasa kita semua perlu tanya diri sendiri lebih kerap.

Berapa kali kita dah kata “tahun depan lah” untuk benda-benda yang kita tahu, jauh dalam hati, kita nak buat? Berapa banyak hujung minggu yang dah berlalu, yang kita habiskan di dalam rumah, di dalam mall, di dalam kereta dalam kesesakan — dan kita masih rasa macam kita belum betul-betul pergi mana-mana?

Lima tahun ODF berjalan. Lima tahun festival ini membesar, berkembang, dan membuktikan dirinya edisi demi edisi. Lima tahun orang-orang yang hadir pulang dengan cerita yang masih mereka ceritakan kepada saya hari ini.

Dan setiap tahun, tanpa gagal, saya akan terima mesej dari seseorang yang kata: “Eh, nampak best la ODF tahun ni. Tahun depan nak pergi.”

Tahun depan. Sentiasa tahun depan.

ODF 2026 adalah festival yang, kalau anda terlepas, anda tidak akan cuma terlepas satu hujung minggu. Anda akan terlepas perasaan yang hanya datang bila anda berada di tempat yang betul, dengan orang yang betul, pada masa yang betul. Perasaan yang tidak ada shortcut untuk sampai ke sana.

Pergi. Bawa keluarga anda. Bawa kawan-kawan anda. Bawa diri anda yang penat tu sekali.

Lenggong akan jaga selebihnya./LOCCO

Facebook
Twitter
WhatsApp