Selepas hampir enam tahun hanya bergantung kepada satu produk legendari, Sambal Nyet Berapi, usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming atau lebih mesra disapa KA, akhirnya bersedia melangkah ke fasa baharu apabila mengumumkan pelancaran produk keempatnya, Sambal Nyet Bilis — dan kali ini, beliau memilih untuk membuatnya dengan cara yang jauh lebih besar daripada sebelumnya.
Menerusi perkongsian di media sosialnya, KA mengumumkan majlis pelancaran Sambal Nyet Bilis akan diadakan secara eksklusif di puncak Menara Merdeka 118 — mercu tanda tertinggi negara dan bangunan kedua tertinggi di dunia — pada hari Jumaat ini.
“Produk terbaharu Khairul Aming, Sambal Nyet Bilis, akan dilancarkan dari Merdeka 118, puncak tertinggi di Malaysia. Selepas sekian lama rahsia disimpan, KA nak umumkan yang majlis pelancaran untuk Sambal Nyet Bilis hari Jumaat ini akan dibuat di puncak Merdeka 118,” katanya.
“Jadi ini akan menjadi live stream terbesar yang pernah KA buat, dan macam-macam persediaan perlu dibuat daripada awal,” tambah beliau.
Konsep kemerdekaan sebagai penghormatan kepada pejuang tanah air
Menurut KA, pemilihan lokasi dan konsep pelancaran bukan sekadar strategi pemasaran, tetapi turut membawa makna yang lebih mendalam bersempena bulan kemerdekaan negara.
“Konsep kemerdekaan dipilih untuk live stream ini, untuk kita sama-sama mengajak ramai-ramai mengimbau dan meraikan jasa-jasa pejuang yang memberikan kemerdekaan untuk tanah air kita,” ujarnya.
Sejurus itu, KA turut melahirkan rasa terharu dan bersyukur, sambil mengimbau kembali titik permulaan perniagaannya enam tahun lalu.

“Enam tahun lepas, kita jual botol sambal pertama dekat satu kedai runcit kecil saja dekat tepi jalan. KA sendiri takut nak cuba, takut kena jual, takut gagal, takut nak letak impian yang besar. Tapi saya tetap teruskan hari demi hari walaupun penat sekalipun,” katanya.
“Dan hasil daripada sokongan anda semua dan enam tahun kemudian, sambal yang kedua kita akan lancarkan dari mercu tanda kebanggaan tanah air kita,” tambah beliau, sambil turut menyeru anak muda supaya tidak takut bermimpi besar dan terus berusaha walaupun berdepan kegagalan.
Turun padang demi kualiti, angkat produk tempatan ke pentas dunia
Menurut pelbagai laporan media Malaysia yang turut meliputi pengumuman berkenaan, kesungguhan KA menghasilkan Sambal Nyet Bilis turut dibuktikan menerusi usaha beliau turun sendiri ke lapangan — menyertai nelayan tempatan di Setiu, Terengganu bagi memahami proses menangkap ikan bilis segar, serta mengunjungi kebun cili di Banting, Selangor untuk memilih sendiri bahan mentah terbaik.
Sambal baharu ini dilaporkan menggunakan gabungan 75 peratus cili hijau dan 25 peratus cili merah –berbeza daripada Sambal Nyet Berapi — bagi menghasilkan tahap kepedasan yang lebih lembut namun tetap “kick”, disamping lebih gurih dan harum. Proses pengeluarannya turut dijalankan di tiga buah kilang di Kota Bharu, Kelantan, dengan kapasiti pengeluaran melebihi 12,000 botol sehari, sekali gus turut membuka peluang pekerjaan kepada 100 anak tempatan.
Jualan pertama 125,000 botol, turut angkat peniaga kecil
Pelancaran rasmi Sambal Nyet Bilis dijangka berlangsung selama tiga jam menerusi siaran langsung di akaun TikTok Khairul Aming pada Jumaat, 7 Ogos, bermula jam 9 pagi, dengan sebanyak 125,000 botol ditawarkan pada jualan pertama. Menariknya, sejurus produk tersebut habis dijual, sesi siaran langsung itu dilaporkan akan disambung dengan promosi produk usahawan tempatan lain, sebagai usaha KA membantu memperluaskan perniagaan peniaga-peniaga kecil.
Dalam nada yang sama, KA turut mengajak masyarakat supaya terus menyokong peniaga tempatan serta tidak melupakan jasa golongan yang menjadi tulang belakang negara termasuk nelayan, petani dan pekerja.
“Dan kepada semua peniaga-peniaga tempatan, teruskanlah berusaha, dan sama-samalah kita beri sokongan kepada mereka,” katanya.
LOCCO: Semangat usahawan muda yang angkat cita rasa tempatan ke persada dunia
Bagi LOCCO, langkah KA memilih puncak Merdeka 118 sebagai tapak pelancaran bukan kebetulan — ia satu pernyataan simbolik bahawa produk tempatan, hasil tangan anak Malaysia, layak berdiri sebaris dengan mercu tanda kebanggaan negara. Perjalanan KA daripada menjual sebotol sambal di tepi jalan sehingga kini mengetuai jenama yang mengangkat rezeki nelayan Setiu dan petani Banting, mencerminkan semangat usahawan muda Malaysia yang berani bermimpi besar tanpa melupakan akar tempatan.
LOCCO turut melihat pendekatan KA –menggabungkan kejayaan perniagaan dengan semangat kemerdekaan serta sokongan padu kepada peniaga kecil — sebagai contoh bagaimana keusahawanan digital generasi baharu boleh menjadi wadah menyemai cinta akan tanah air, sekali gus membuktikan bahawa kejayaan sebenar turut diukur melalui seberapa ramai yang turut dibawa naik bersama./LOCCO


