Pustaka Imaginasi Buka Pintu, Jemput Anda Terokai Seni

Balai Seni Negara bakal membuka pintu lebar-lebar buat penggemar seni dan sastera menerusi Program Hari Terbuka Pustaka Imaginasi 2026, yang dijadualkan berlangsung pada 22 Ogos ini (Sabtu), bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Program ini bertujuan memperkenalkan Pustaka Imaginasi sebagai pusat rujukan dan pengumpulan data pelukis serta sumber berkaitan seni visual, di samping menggalakkan budaya membaca, memperluas pengetahuan, serta merangsang pemikiran kritis dan kreativiti masyarakat.

Pengunjung bakal disajikan dengan pelbagai pengisian menarik sepanjang program, termasuk Pertandingan Bercerita, Pertandingan Deklamasi Puisi dan Sembang Santai Buku, selain ruang jualan dan pameran.

Cerita lahir daripada kanvas: Pertandingan Bercerita untuk kanak-kanak

Bagi Pertandingan Bercerita, peserta berpeluang membina cerita berdasarkan imaginasi, emosi, watak atau mesej yang tersirat daripada karya seni terpilih dalam Koleksi Tetap Balai Seni Negara. Pertandingan ini terbuka kepada kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun, dan dibahagikan kepada dua kategori — Tahap 1 (7-9 tahun) dan Tahap 2 (10-12 tahun).

Sebanyak 20 karya seni dipilih sebagai rujukan, terdiri daripada 12 karya menerusi Pameran Perolehan Terkini: Recent Acquisition di Galeri 2A, serta lapan karya lagi daripada Pameran Cinta Buatan Malaysia 79-89 di Galeri Tun Razak – membuka ruang kepada peserta muda meneroka seni menerusi penceritaan berdasarkan tafsiran masing-masing.

Deklamasi puisi bertemakan kemanusiaan

Sementara itu, Pertandingan Deklamasi Puisi pula terbuka kepada peserta berusia 13 tahun ke atas dengan tema “Seni, Imaginasi dan Kemanusiaan”. Peserta dikehendaki memilih dan mendeklamasikan puisi daripada penerbitan Koleksi Puisi: 55 Koleksi 55 Penulis 55 Puisi terbitan Balai Seni Negara sendiri.

Sembang santai kupas novel zaman Perang Dunia Kedua

Bagi peminat buku pula, sesi Sembang Santai Buku memberi tumpuan kepada buku sebagai sumber ilmu, inspirasi dan rujukan dalam memperkaya apresiasi seni, sejarah dan budaya. Sesi ini menampilkan kupasan novel Hidup Berjuang karya Mohamed Salehuddin, yang merakamkan pengalaman masyarakat ketika zaman Perang Dunia Kedua, sekali gus mengetengahkan hubungan antara karya sastera, sejarah dan pemikiran kreatif.

Sepanjang program, pengunjung turut berpeluang mendapatkan perkhidmatan pendaftaran dan kemas kini biodata artis, pendaftaran keahlian NAG Friends, serta khidmat nasihat mengenai Tabung Bantuan Seni (TBS), selain melawat reruai jualan yang disediakan.

Balai Seni Negara turut merakamkan penghargaan kepada rakan penaja program ini, iaitu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor menerusi Selangor Fruit Valley, Dermally Malaysia, Gardenia Malaysia, iGroup Malaysia menerusi Access Dunia Sdn Bhd, serta Lemonjar Software Media Sdn Bhd dan Wonderbuuk menerusi Edge Tech Engineering.

Menerusi penganjuran ini, Balai Seni Negara berhasrat untuk terus memperkukuh peranan Pustaka Imaginasi sebagai pusat rujukan dan pembelajaran seni visual yang menyediakan akses kepada sumber ilmu, di samping membuka peluang kepada masyarakat, khususnya generasi muda untuk mengembangkan pengetahuan, kreativiti dan apresiasi terhadap seni.

Orang ramai dijemput hadir ke Hari Terbuka Pustaka Imaginasi 2026 pada 22 Ogos ini di Balai Seni Negara. Maklumat lanjut boleh dirujuk menerusi laman sesawang www.artgallery.gov.my atau media sosial rasmi Balai Seni Negara.

LOCCO: Ruang kecil yang memperluas imaginasi generasi muda

Bagi LOCCO, inisiatif seperti Hari Terbuka Pustaka Imaginasi ini penting bukan sekadar sebagai acara tahunan, tetapi sebagai usaha berterusan mendekatkan seni visual dengan masyarakat luas, khususnya kanak-kanak dan remaja yang mungkin tidak pernah terfikir bahawa sebuah lukisan boleh menjadi permulaan sebuah cerita, atau sebuah puisi boleh menjadi cermin kepada isu kemanusiaan sejagat.

Pendekatan menggabungkan koleksi seni tetap negara dengan aktiviti sebegini turut menunjukkan bagaimana institusi seperti Balai Seni Negara terus berevolusi – daripada sekadar ruang pameran statik, kepada ruang pembelajaran yang interaktif dan mesra keluarga. LOCCO percaya, usaha kecil seperti ini yang menyemai kecintaan generasi muda terhadap seni dan bacaan hari ini, bakal membentuk penghayat dan pencipta seni negara pada masa hadapan./LOCCO

Facebook
Twitter
WhatsApp