Raja Permaisuri Agong Berkenan Lancar Muzium Tekstil Merdeka, Abadikan Warisan Tekstil Alam Melayu

Sehelai kain bukan sekadar fabrik. Ia cerita. Ia sejarah. Ia identiti yang diwarisi turun-temurun … dan kini, warisan itu mempunyai rumah baharu di jantung Kuala Lumpur.

Menurut BERNAMA, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, hari ini berkenan melancarkan Muzium Tekstil Merdeka di pekarangan Menara Merdeka Maybank, sekali gus menandakan babak baharu dalam usaha memelihara warisan tekstil alam Melayu untuk generasi kini dan akan datang.

Muzium ini dibuka oleh PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), dengan misi memelihara dan meraikan warisan tekstil menerusi penceritaan mendalam serta pengalaman budaya yang interaktif … bukan sekadar memamerkan kain di sebalik kaca, tetapi mengajak pengunjung menyelami kisah di sebaliknya.

“Warisan Perlu Dihargai, Dipelihara dan Diwariskan”

Dalam titahnya, Raja Permaisuri Agong menekankan bahawa setiap negara mempunyai warisan yang wajar dihargai, dipelihara dan diwariskan kepada generasi seterusnya, dan tradisi budaya adalah cerminan identiti serta nilai yang membentuk sesebuah masyarakat.

“Saya berharap Muzium Tekstil Merdeka akan menjadi sebuah pusat pembelajaran dan penerokaan ilmu yang penting untuk semua, serta menjadi inspirasi kepada wanita Malaysia hari ini dan generasi akan datang,” titah Seri Paduka Baginda, menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar generasi muda akan terus menghargai warisan dan budaya negara … supaya ia “tidak akan hilang begitu sahaja.”

Legasi Azah Aziz, Jiwa di Sebalik Muzium

Teras utama Muzium Tekstil Merdeka adalah koleksi peribadi Allahyarham Sharifah Azah Syed Mohammed Alsagoff, atau lebih dikenali sebagai Azah Azi, isteri kepada Almarhum Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Abdul Hamid, dan bonda kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Ungku Zeti Akhtar Aziz.

Disumbangkan oleh keluarga Azah, koleksi ini merangkumi 240 helai busana dan 69 barangan perhiasan tradisional …. daripada sarung songket, baju kurung limar, hinggalah tekat emas yang menyerlahkan kehalusan seni tangan Melayu lama.

Muzium ini turut mengambil inspirasi daripada karya penting Azah, Rupa & Gaya: Busana Melayu, yang mengetengahkan tekstil Melayu sebagai cerminan identiti, sejarah, budaya dan masyarakat – sebuah rujukan yang lama dihormati dalam bidang kajian busana tradisional negara.

Lapan Galeri, Satu Pusat Ilmu

Muzium Tekstil Merdeka dilengkapi lapan galeri, di samping sebuah pusat pengajian yang merangkumi makmal konservasi, perpustakaan fabrik serta pusat pengetahuan tekstil …. menjadikannya bukan sekadar destinasi pelancongan budaya, tetapi juga ruang penyelidikan dan pembelajaran berterusan untuk pengkaji, pereka dan orang ramai.

Majlis pelancaran turut disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dan Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, yang turut hadir menyambut keberangkatan Raja Permaisuri Agong.

Dengan kehadiran Muzium Tekstil Merdeka, satu lagi babak dalam usaha memuliharaan warisan Nusantara kini tercatat … bukan sahaja sebagai tempat menyimpan kain lama, tetapi sebagai ruang di mana cerita, identiti dan kebanggaan bangsa terus dijalin untuk generasi akan datang./LOCCO

Facebook
Twitter
WhatsApp