Panglima yang Pilih Terbang, Bukan Duduk VIP
Di sebalik gemuruh perbarisan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya hari ini, satu detik turut menarik perhatian ramai … pilihan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan Aris, untuk turut berada di udara bersama anak buahnya sepanjang segmen persembahan udara, walaupun beliau berhak duduk selesa di kerusi VIP bersama tetamu kehormat lain.
Bagi seorang yang memegang jawatan tertinggi dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), keputusan itu bukanlah kebetulan, sebaliknya mencerminkan falsafah kepimpinannya sendiri, iaitu untuk sentiasa berada di barisan hadapan bersama perwira yang dipimpinnya, demi memastikan persembahan terbaik dipersembahkan buat seluruh rakyat Malaysia.
Tabik hormat buat panglima yang membesar di landasan lapangan terbang
Dilahirkan di Kota Tinggi, Johor pada 9 November 1967, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan Aris memulakan perjalanan kerjaya tenteranya sebagai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja Sungai Besi dari 1985 hingga 1987.
Selepas itu, beliau memulakan latihan penerbangan pada 1988 di TUDM Alor Setar, sebelum terpilih untuk menerbangkan pesawat pejuang …. satu laluan yang membentuk seluruh kerjayanya selama hampir empat dekad dalam perkhidmatan.

Sepanjang kerjayanya, beliau telah menerbangkan pelbagai jenis pesawat pejuang termasuk Aermacchi MB339A, A4PTM Skyhawk, Mikoyan Guverich MIG29N/UB dan Sukhoi 30MKM … malah turut berkhidmat sebagai jurulatih bagi pesawat MB339A, MiG-29N/UB dan Sukhoi 30MKM, mencerminkan tahap kepakaran dan pengalaman luas beliau dalam bidang penerbangan tentera.
Daripada kokpit ke jawatan tertinggi TUDM
Sepanjang perkhidmatannya, Norazlan Aris telah memegang pelbagai jawatan penting sebagai pemerintah, staf dan jurulatih; antaranya Pegawai Staf 1 Operasi Pejuang di No 1 Divisyen Udara, Pegawai Memerintah No 11 Skuadron Su-30MKM, Komander Pangkalan Udara Gong Kedak, Timbalan Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan, Ketua Staf di Markas Pemerintahan Operasi Udara, Panglima Bantuan Udara, serta Panglima Operasi Udara, sebelum dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Udara.
Beliau seterusnya dilantik sebagai Panglima Tentera Udara ke-21 pada 26 Jun 2025, menggantikan Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan yang menamatkan perkhidmatan selepas lebih empat dekad berbakti kepada TUDM.
Dari segi kehidupan peribadi, Norazlan mendirikan rumah tangga bersama Datin Sri Hajah Wan Nor Sazlina binti Wan Abd Shukor pada 19 Ogos 1994, dan dikurniakan empat cahaya mata perempuan.
Bukan kali pertama pimpin dari udara
Ini bukan kali pertama Norazlan menunjukkan gaya kepimpinan sebegini.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun lalu, beliau turut mencatat sejarah apabila menerbangkan sendiri pesawat pejuang Su-30MKM dalam segmen persembahan udara di Putrajaya — satu tindakan yang ketika itu turut digambarkan sebagai lambang semangat kepimpinan beliau untuk berada di barisan hadapan bersama perwiranya, sekali gus menjadi lambang kekuatan sesebuah pasukan.
LOCCO: Kepimpinan yang terbang bersama, bukan sekadar memerintah dari darat
Bagi LOCCO, tindakan seorang Panglima Tentera Udara menolak kemewahan kerusi VIP demi berada di udara bersama anak buahnya membawa satu mesej yang jauh lebih besar daripada sekadar simbolik semata-mata.
Ia mencerminkan nilai kepimpinan tentera yang sebenar — bukan memerintah dari jauh, tetapi turut merasai risiko dan tanggungjawab yang sama seperti mereka yang dipimpin.
Dalam sebuah negara yang meraikan semangat kenegaraan setiap tahun, kisah seperti ini mengingatkan kita bahawa Hari Kebangsaan bukan sekadar tentang perbarisan gah dan bunga api, tetapi turut tentang insan-insan yang sanggup mempertaruhkan keselesaan peribadi demi memastikan rakyat Malaysia menyaksikan persembahan terbaik.
LOCCO percaya, semangat “duty, honour, sacrifice” yang dipegang golongan seperti Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan Aris inilah yang turut menjadi tulang belakang kepada kemerdekaan dan kedaulatan negara yang kita nikmati hari ini.
Tabik hormat, Tan Sri Panglima./LOCCO



