10 Tahun, Satu Perjalanan, Satu Hati: “Keretapi Sarong Tidak Lagi Menjadi Milik Kami Sahaja …”

Lapan hari sebelum Malaysia menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini, sebuah sidang media digelar buat memperkenalkan Keretapi Sarong 2026 (KS26) … namun bagi keluarga besar LOCCO, hari ini bukan sekadar tentang pengumuman program tahunan.

Ia adalah detik untuk berhenti sejenak, menoleh ke belakang, dan mengucapkan terima kasih kepada perjalanan sepuluh tahun yang telah membawa kami sejauh ini.

Berucap sempena sidang media tersebut, Pengasas Bersama LOCCO, Shamsul Bahrine Zainuzzaman, membuka bicara dengan satu persoalan yang mungkin ramai antara kita tidak pernah benar-benar bertanya: apakah sebenarnya yang kita raikan setiap kali Keretapi Sarong bergerak?

“Bagi saya, Keretapi Sarong bukan sekadar sebuah acara dalam kalendar LOCCO. Ia ialah sesuatu yang kami pelihara, besarkan dan pertahankan dengan sepenuh hati,” katanya, memulakan ucapan bertajuk “Penghayatan Keretapi Sarong Yang Sebenar”.

Bermula daripada satu kepercayaan mudah

Sembilan tahun lalu, ketika LOCCO menghidupkan kembali Keretapi Sarong pada 2017, hasrat kami sebenarnya cukup sederhana. Seperti yang dikongsikan Shamsul, ia lahir daripada kepercayaan bahawa rakyat Malaysia memerlukan ruang untuk bertemu – bukan kerana kita semuanya sama, tetapi kerana kita mahu belajar hidup dan bergembira dalam perbezaan.

“Kami mahu membawa budaya keluar daripada ruang pameran dan mengembalikannya ke tengah-tengah kehidupan rakyat. Kami mahu tradisi menaiki tren. Kami mahu warisan menunggu di platform,” katanya, menggambarkan hasrat yang menjadi asas kepada setiap perjalanan Keretapi Sarong sejak itu.

Sepuluh tahun kemudian, hasrat itu tidak pernah luntur. “Saya masih percaya bahawa penghayatan Keretapi Sarong yang sebenar bukan hanya terletak pada kain atau busana yang kita pakai. Ia terletak pada siapa yang berdiri di sebelah kita,” tegasnya.

Bukan sekadar angka, tetapi rakyat Malaysia yang saling menemui

Tahun lalu, lebih 20,000 peserta memenuhi 11 stesen permulaan di Lembah Klang sebelum berhimpun di The Exchange TRX … satu pencapaian yang besar dari segi angka, namun bagi Shamsul, itu bukanlah ukuran sebenar kejayaan Keretapi Sarong.

“Saya tidak melihat mereka sebagai angka. Saya melihat rakyat Malaysia yang mungkin tidak pernah saling mengenali, tetapi sanggup menaiki gerabak yang sama, menyanyikan lagu yang sama dan berkongsi kegembiraan yang sama. Itulah kejayaan sebenar Keretapi Sarong,” katanya.

Sebuah ayat yang barangkali merangkumi keseluruhan semangat program ini sejak ia bermula.

KS26: Perjalanan yang melangkah lebih jauh

Tahun ini, perjalanan tersebut melangkah lebih jauh daripada sebelumnya. Selain 12 stesen permulaan di Lembah Klang, semangat Keretapi Sarong buat julung kalinya akan diraikan di 10 bandar di seluruh negara, dengan Padang Besar, Langkawi dan Kuching menjadi tiga wajah baharu dalam keluarga besar Keretapi Sarong.

Padang Besar membawa perjalanan ini ke pintu sempadan utara negara. Langkawi pula membuktikan bahawa semangat Keretapi Sarong tidak pernah terbatas kepada landasan kereta api semata-mata. Manakala Kuching membawa perjalanan ini merentas Laut China Selatan yang mendekatkan sambutan kita kepada jiwa sebenar Hari Malaysia yang turut kita raikan tidak lama lagi.

“Bagi kami, ‘keretapi’ bukan semata-mata kenderaan. Ia melambangkan gerakan manusia, daripada tidak mengenali kepada saling memahami; daripada sekadar melihat kepada turut serta; dan daripada mewarisi budaya kepada memilih untuk meneruskannya,” jelas Shamsul.

Ruang baharu buat suara wanita, dihubungkan dengan teknologi

Buat pertama kalinya juga, KS26 memperkenalkan Stesen Wanita di MRT Titiwangsa – sebuah ruang pengisian khas yang meraikan daya, kreativiti dan sumbangan wanita dalam membentuk keluarga, komuniti dan negara, sekali gus memberikan perhatian sewajarnya kepada suara dan karya wanita Malaysia.

Perjalanan tahun ini turut diperkukuh menerusi kerjasama digital pintar Keretapi Sarong × GRAK, membolehkan peserta bukan sahaja merancang perjalanan, malah turut berpeluang menemukan komuniti kreatif, destinasi budaya, perniagaan tempatan dan pengalaman bandar di sepanjang laluan. Bagi Shamsul, teknologi tidak seharusnya menjauhkan manusia – sebaliknya, digunakan dengan betul, ia menjadi jambatan yang membantu kita menemukan tempat, mengenali cerita dan mendekati satu sama lain.

Hadiah paling dekat di hati: “Joget Sarong”

Sempena sidang media ini juga, LOCCO memperkenalkan sebuah hadiah yang amat dekat di hati keluarga besar kami … lagu tema rasmi pertama Keretapi Sarong, “Joget Sarong”. Bukan sekadar iringan muzik sambutan tahun ini, lagu ini adalah rakaman rasa dan kenangan daripada perjalanan yang kita bina bersama sepanjang sedekad ini.

“Kami berharap apabila lagu ini dimainkan pada tahun-tahun akan datang, rakyat akan teringat saat mereka pernah menari, ketawa dan berjalan bersama sebagai satu Malaysia,” kata Shamsul, membawa nada penuh harapan dalam ucapannya.

Tema Keretapi Sarong tahun ini, “Sayang Malaysia”, membawa mesej yang mendalam buat Shamsul dan seluruh keluarga LOCCO. Menyayangi Malaysia, tegasnya, tidak boleh berhenti sebagai ungkapan semata-mata.

“Rasa sayang itu perlu terlihat pada cara kita menghormati budaya satu sama lain, menjaga ruang yang kita kongsi, menyokong komuniti tempatan dan memberikan tempat kepada mereka yang berbeza daripada kita,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Keretapi Sarong tidak pernah meminta sesiapa meninggalkan identiti masing-masing demi menjadi satu. Sebaliknya, ia mengajar bahawa setiap identiti mempunyai tempatnya sendiri dalam cerita besar bernama Malaysia.

Penghargaan buat mereka yang memberi Keretapi Sarong nyawa

Dalam ucapannya, Shamsul turut merakamkan penghargaan tulus kepada semua rakan strategik, penaja, penggerak komuniti, seniman, sukarelawan, pihak berkuasa, sahabat media dan pencipta kandungan yang terus mempercayai perjalanan ini sepanjang sedekad ini.

“LOCCO mungkin menghidupkan percikannya, tetapi rakyat Malaysialah yang memberikan Keretapi Sarong nyawa,” katanya, sebuah satu pengakuan rendah hati yang mencerminkan sebenar-benarnya semangat program ini sejak awal.

Jemputan ikhlas buat 16 September nanti

Mengakhiri ucapannya, Shamsul menyeru seluruh rakyat Malaysia agar hadir ke Keretapi Sarong 2026 bukan sekadar untuk mengambil gambar atau mengikuti sesuatu yang sedang tular.

“Datanglah untuk mengenali. Datanglah untuk memahami. Datanglah untuk berkongsi kegembiraan. Dan datanglah kerana kita Sayang Malaysia,” ajaknya.

LOCCO: Sedekad yang bukan milik kami seorang

Buat keluarga besar LOCCO, menulis artikel ini bagi pihak keluarga ini … bukanlah tugas mudah kerana Keretapi Sarong bukan sekadar sebuah program yang kami anjurkan, tetapi sebahagian daripada jiwa kami sendiri.

Sepuluh tahun lalu, kami memulakan perjalanan ini dengan hasrat yang sederhana: membawa budaya kembali ke tengah-tengah kehidupan rakyat. Hari ini, melihat bagaimana hasrat itu telah berkembang merentas 10 bandar, membawa bersama Stesen Wanita, teknologi pintar, dan sebuah lagu yang bakal dinyanyikan generasi akan datang – kami sedar bahawa Keretapi Sarong tidak pernah lagi menjadi milik kami seorang.

Ia telah menjadi milik setiap rakyat Malaysia yang pernah menaiki gerabak yang sama, menyanyikan lagu yang sama, dan berkongsi kegembiraan yang sama – tanpa mengira dari mana mereka datang atau bahasa apa yang mereka gunakan untuk bermimpi. Inilah yang kami mahu dunia ketahui: bahawa di sebalik hiasan sarong yang berwarna-warni dan gerabak yang dihias meriah, Keretapi Sarong sebenarnya adalah kisah tentang manusia yang memilih untuk saling mendekati, walau dalam kepelbagaian yang begitu luas.

Kepada setiap rakan strategik, sukarelawan, seniman dan rakyat Malaysia yang telah bersama kami sepanjang sedekad ini ,,, terima kasih kerana mempercayai perjalanan ini. Kami menghidupkan percikannya, tetapi andalah yang memberikannya nyawa.

Sepuluh tahun telah membawa kita dari satu stesen ke satu stesen. Semoga sepuluh tahun yang akan datang membawa kita lebih dekat, dari satu hati ke satu hati.

Selamat datang ke Keretapi Sarong 2026. Selamat menyambut Hari Malaysia. Sayang Malaysia!/LOCCO

Facebook
Twitter
WhatsApp