VM2026 Dalam Sekeping Setem: Nostalgia, Budaya Dan Malaysia

Bila Pos Malaysia umumkan pelancaran setem khas Visit Malaysia 2026 (VM2026), jujurnya ramai mungkin melihat ia sekadar koleksi biasa.

Tapi bagi peminat filateli, inilah antara “moment” yang ditunggu-tunggu. Setem bukan hanya sekeping kertas kecil yang dilekatkan pada sampul surat — ia sebenarnya menyimpan cerita, identiti dan nostalgia sebuah negara.

Koleksi terbaharu VM2026 ini tampil dengan elemen yang cukup dekat dengan jiwa Malaysia. Dari Langkawi, Bukit Bendera, Cameron Highlands sampailah Menara Berkembar Petronas, semuanya seperti dirangkum dalam satu helaian kecil yang boleh “dibawa pulang”.

Ada rasa bangga bila tengok warisan dan mercu tanda negara dijadikan karya seni yang akan dihantar ke serata dunia.

Pelancaran ini juga datang pada waktu yang tepat ketika Malaysia sedang bersedia menuju Visit Malaysia 2026. Dalam dunia yang terlalu digital sekarang, setem mungkin nampak “old school”, tetapi sebenarnya masih ada komuniti yang sangat menghargainya.

Gambar: Zulfadhli Zulkifli

Percayalah, bila keluaran khas macam ini diumumkan, mesti akan ada peminat setem yang terus cari tarikh pelancaran, sanggup beratur di pejabat pos dan simpan koleksi itu dalam folder khas.

Ada yang kumpul untuk nostalgia, ada yang jadikan pelaburan, dan ada juga sebab mereka benar-benar cintakan seni pada setiap rekaan setem.

Apa yang menarik, keluaran kali ini bukan sekadar cantik dari segi visual, tetapi ada sentuhan istimewa seperti kemasan spot UV, elemen die-cut dan helaian mini berbentuk unik. Benda kecil macam ini yang biasanya buat peminat filateli lebih teruja.

Malah, pengenalan cop khas VM2026 di beberapa pejabat pos besar seluruh negara pun rasa macam satu “treasure hunt” untuk pengumpul setem. Bayangkan dapat cop khas itu atas poskad atau jurnal perjalanan sendiri — memang ada sentimental value yang susah nak digambarkan.

Dalam majlis pelancaran tadi pun boleh nampak bagaimana setem masih ada tempat dalam hati masyarakat. Ia bukan sekadar tentang surat-menyurat lagi, tetapi bagaimana sesuatu koleksi boleh menyatukan memori, budaya dan identiti negara dalam cara yang sangat sederhana.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man turut menyifatkan setem khas VM2026 sebagai medium kreatif untuk mempromosikan Malaysia kepada dunia sambil mengetengahkan kepelbagaian budaya dan destinasi pelancongan negara.

Bagi LOCCO, ini juga salah satu cara paling “senyap” tetapi berkesan untuk promosikan Malaysia. Kadang-kadang orang luar kenal sesebuah negara bukan melalui iklan besar, tetapi melalui benda kecil yang meninggalkan kesan — termasuk setem.

Dan siapa tahu, pelancaran kali ini mungkin akan buat lebih ramai anak muda mula kenal dunia filateli semula. Mungkin ada yang akan mula kumpul setem pertama mereka tahun ini, hanya sebab ternampak koleksi VM2026 yang cantik dan penuh identiti Malaysia./LOCCO

Facebook
Twitter
WhatsApp