Sarong Dance ’26: Apabila Sehelai Sarong Menjadi Bahasa Perpaduan

Ada benda-benda dalam hidup rakyat Malaysia yang kita anggap biasa sahaja — sampai satu hari, seseorang menunjukkan ia sebenarnya luar biasa. Sarung adalah salah satunya.

Merentas kaum, agama, negeri dan generasi, sarung sentiasa berada di sisi kita — di majlis kahwin, surau dan umah nenek pada waktu petang.

Tetapi hari ini, ruang lingkupnya semakin mengecil, terhad kepada majlis-majlis tertentu sahaja. Justeru, Antava Projects bersama LOCCO tampil dengan satu jawapan kreatif untuk soalan ini: bagaimana jika sarung kembali menari?

Itulah lahirnya Sarong Dance ’26 — sebuah pertandingan tarian kebudayaan yang menjadikan sarung sebagai wira utama pentas, dan menjadi sebahagian daripada perjalanan Road to Sedekad Keretapi Sarong 2026.

Bukan Sekadar Pertandingan, Tetapi Satu Gerakan

Bagi penganjur, Sarong Dance bukan direka untuk mencari kumpulan tarian yang paling hebat teknik dan formasinya. Yang dicari adalah sesuatu yang lebih mencabar — karya yang mampu menghidupkan semula budaya dalam kalangan masyarakat.

Setiap kumpulan peserta diminta menghasilkan koreografi yang bukan sahaja kreatif, tetapi mudah dipelajari dan diikuti orang ramai. Sebabnya mudah: lima kumpulan terbaik akan naik ke pentas utama Keretapi Sarong 2026 sempena sambutan Sedekad Keretapi Sarong, dan koreografi mereka berpotensi dipelajari serta ditarikan bersama ribuan peserta pada hari kemuncak itu nanti.

Falsafah ini jugalah yang membezakan Sarong Dance daripada pertandingan tarian lain — penganjur percaya budaya hanya akan terus hidup apabila masyarakat sendiri turut menyertainya, bukan sekadar menontonnya dari tepi pentas.

Pertandingan ini terbuka luas. Dari universiti, sekolah, kelab, persatuan, studio tarian, sehinggalah komuniti dan kumpulan bebas di seluruh Malaysia. Tiada sekatan sama ada penari profesional atau sekadar penggemar tarian; yang penting, semangat meraikan kepelbagaian budaya Malaysia melalui penyertaan semua lapisan masyarakat.

Bukan Sekadar Menonton, Tetapi Turut Menari

Pengunjung yang datang ke Sarong Dance bukan sahaja akan duduk dan menonton. Mereka digalak untuk bangun dan menari sekali apabila kumpulan-kumpulan membuat persembahan, malah turut berpeluang mengundi kumpulan kegemaran mereka menerusi kategori Pilihan Penonton.

Suasana hari itu juga dijangka meriah dengan pelbagai aktiviti budaya sepanjang hari, antaranya:

  • Pertandingan Mewarna Kanak-kanak
  • Kids Talent Showcase
  • Aktiviti Mencanting Batik
  • Demonstrasi Ikatan Tanjak dan Tengkolok
  • Demonstrasi budaya dan warisan
  • Aktiviti komuniti serta cabutan bertuah
  • Vendor makanan warisan

Objektifnya satu — supaya setiap pengunjung yang pulang membawa lebih daripada sekadar kenangan menonton persembahan, tetapi pengalaman budaya Malaysia yang sebenar.

Bagi menghargai kreativiti dan komitmen para peserta, Sarong Dance ’26 menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM7,000 secara keseluruhan:

  • Johan: RM3,000
  • Naib Johan: RM2,000
  • Tempat Ketiga: RM1,000
  • Dua Hadiah Saguhati: RM500 setiap satu


Namun, seperti yang ditegaskan penganjur, nilai terbesar bukan terletak pada wang tunai semata-mata. Peluang untuk lima kumpulan terbaik tampil di pentas utama Keretapi Sarong 2026, di hadapan ribuan peserta sambutan Sedekad, merupakan satu pengiktirafan yang jauh lebih bermakna buat komuniti seni tanah air.

Aspirasi Bersama Antava Projects dan LOCCO

Sarong Dance lahir daripada perkongsian aspirasi antara Antava Projects dan LOCCO — dua entiti yang sama-sama mahu memperkasakan budaya Malaysia melalui pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat. Ia menjadi salah satu inisiatif dalam Road to Sedekad Keretapi Sarong 2026, bagi memperluaskan gerakan budaya ini kepada komuniti seni persembahan seluruh negara.

Pegangan penganjur jelas: budaya tidak akan berkembang jika hanya dipersembahkan. Budaya perlu disertai, dipelajari dan dialami bersama.

Ukuran Kejayaan yang Berbeza

Bagi penganjur, kejayaan Sarong Dance tidak diukur semata-mata melalui jumlah peserta atau pengunjung yang hadir. Kejayaan sebenar adalah apabila masyarakat pulang dengan rasa bangga terhadap budaya Malaysia, apabila semakin ramai memakai sarung dalam pelbagai acara, dan apabila koreografi yang lahir daripada Sarong Dance terus dipersembahkan serta dipelajari oleh komuniti di seluruh negara — jauh selepas tirai pertandingan ditutup.

Jika budaya itu terus hidup selepas gong terakhir berbunyi, di situlah letaknya kejayaan sebenar Sarong Dance ’26./LOCCO

Facebook
Twitter
WhatsApp