Sekumpulan rakyat Malaysia berpeluang menelusuri semula perjalanan negara menuju kemerdekaan menerusi Xplorasi Warisan KL: Edisi Merdeka 2026, sebuah cabaran eksplorasi bandar bertemakan warisan anjuran Warisan KL bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Menurut laporan Bernama, program tersebut membawa peserta meneroka mercu tanda di sepanjang koridor warisan Warisan KL …. bermula dari Stadium Merdeka, lokasi pengisytiharan kemerdekaan pada 1957, dan berakhir di Dataran Merdeka, tempat bendera Persekutuan Tanah Melayu pertama kali dikibarkan.

Sepanjang eksplorasi itu, peserta perlu melengkapkan pelbagai misi berinspirasikan warisan, teka-teki dan cabaran kreatif di setiap checkpoint yang dilalui.
“Para peserta berpeluang mengalami sendiri Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar warisan hidup yang dibentuk dari generasi ke generasi oleh kepelbagaian budaya dan komunitinya,” menurut kenyataan Warisan KL.
Lebih daripada sekadar cabaran, satu penghayatan sejarah
Wakil Sekretariat Bersama Warisan KL, Datuk Mohamed Nasri Sallehuddin, berkata Xplorasi Warisan KL bukan sekadar cabaran berasaskan warisan semata-mata, sebaliknya turut menjadi peluang buat rakyat Malaysia mengenali sejarah Kuala Lumpur secara langsung, serta menghayati kisah, lokasi dan insan yang telah membentuk negara.
“Sepanjang perjalanan dari Stadium Merdeka ke Dataran Merdeka, para peserta dapat menyaksikan bagaimana warisan terus hidup melalui komuniti, tradisi dan pengalaman bersama yang menjadi sebahagian daripada identiti kita hari ini.
“Kami berharap inisiatif seperti ini akan mendorong lebih ramai pihak untuk meneroka, menghargai dan memperjuangkan warisan bersama kita agar terus kekal bermakna dan relevan untuk generasi akan datang,” katanya, menurut laporan Bernama.
Pelepasan peserta disempurnakan oleh Mohamed Nasri bersama Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Datuk Ir Izwan Hasli Mohd Ibrahim, di Stadium Merdeka. Majlis penyampaian hadiah pula diadakan bersempena acara Ambang Merdeka, turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Wilayah Persekutuan, Farah Adura Hamidi; Pengarah di Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Faizal Mahmood; bersama pemegang taruh dan rakan strategik utama program.
Baby G NST juara, bawa pulang RM4,000
Hasil daripada cabaran tersebut, pasukan Baby G NST dinobatkan sebagai juara, membawa pulang wang tunai RM4,000, diikuti KITA TRY di tempat kedua dengan RM3,000, manakala Baru Nak Up BERNAMA melengkapkan tiga teratas di tempat ketiga dengan RM2,000.
Azanis Shahila Aman daripada pasukan juara, Baby G NST, berkata menjadi juara merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna buat pasukannya, selain berpeluang meneroka pelbagai tempat di Kuala Lumpur sambil melaksanakan cabaran bertemakan warisan di setiap checkpoint.

“Daripada menguji pengetahuan tentang sejarah dan seni bina Kuala Lumpur, sampailah ke cabaran kraftangan dan makanan di Pasar Seni dan Jalan Petaling, setiap checkpoint memang ada sesuatu yang berbeza dan buat kami lebih menghargai bandar ini.
“Perjalanan dari Stadium Merdeka sampai ke Dataran Merdeka memang mencabar, tapi pada masa yang sama sangat menyeronokkan. Kami bangga dapat sertai program ini dan lebih-lebih lagi dapat tamatkan perjalanan ini sebagai juara,” katanya, seperti dipetik Bernama.
Sebahagian usaha berterusan hubungkan rakyat dengan warisan bandar
Xplorasi Warisan KL merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Warisan KL untuk menghubungkan masyarakat dengan warisan Kuala Lumpur menerusi pengalaman yang menarik dan bermakna, sekali gus memupuk penghargaan, penyertaan dan semangat bangga terhadap komuniti.
Maklumat lanjut mengenai Warisan KL boleh dirujuk menerusi laman sesawang www.warisankl.my atau platform media sosial rasmi mereka di Facebook, Instagram dan TikTok.
LOCCO: Bila jejak kemerdekaan dijadikan pengalaman, bukan sekadar sejarah dalam buku
Bagi LOCCO, pendekatan Warisan KL menggabungkan semangat kemerdekaan dengan format cabaran bandar sebegini merupakan satu cara segar untuk mendekatkan generasi muda dengan sejarah negara — jauh daripada kaedah konvensional yang selalunya terhad kepada bacaan buku teks atau lawatan muzium semata-mata.

Memilih laluan dari Stadium Merdeka ke Dataran Merdeka bukan sekadar kebetulan geografi, tetapi satu penceritaan simbolik tersendiri …. membawa peserta secara literal berjalan menyusuri jarak antara detik pengisytiharan kemerdekaan dengan detik pengibaran bendera pertama, sambil melalui pelbagai lapisan sejarah dan budaya kota Kuala Lumpur di sepanjang perjalanan itu.
LOCCO percaya, inisiatif seperti ini penting dalam memastikan semangat kemerdekaan terus dihayati bukan sekadar setahun sekali pada bulan Ogos, tetapi sebagai sebahagian daripada identiti dan kebanggaan rakyat Malaysia yang berterusan./LOCCO



