Apabila Malaysia Bergerak Bersama …

Sedekad selepas bermula di Lembah Klang, Keretapi Sarong kini menjadi ruang milik bersama … dibentuk oleh masyarakat, dihidupkan oleh budaya dan digerakkan oleh rasa sayang kepada Malaysia.

Pada pagi Hari Malaysia, rakyat dari pelbagai pelosok negara memulakan perjalanan dari tempat yang berbeza.

Ada yang menaiki tren dari pinggir kota. Ada yang menyeberangi laut dengan feri. Ada yang berjalan melalui lorong warisan, menyusuri pesisir pantai atau berhimpun di dataran bandar.

Mereka hadir dengan sarung, batik, songket, kebaya, baju Melayu serta busana yang membawa cerita keluarga dan komuniti masing-masing.

Menjelang tengah hari, ruang-ruang yang biasanya menjadi tempat orang lalu-lalang telah berubah menjadi tempat rakyat berhenti, berkenalan dan meraikan satu sama lain.

Itulah Keretapi Sarong 2026.

Bukan sekadar sebuah acara besar, tetapi sebuah perjalanan bersama yang membuktikan bahawa ruang awam juga boleh menjadi ruang untuk budaya hidup, masyarakat bertemu dan rasa kebersamaan dipulihkan.

Dari Lembah Klang, kembali kepada Malaysia

Tema “Sayang Malaysia” tahun ini bukan sekadar slogan yang terpampang pada pentas atau bahan promosi.

Ia diterjemahkan melalui tindakan rakyat.

Sayang Malaysia ialah apabila seseorang memberikan tempat duduk kepada warga emas di dalam tren. Ia terlihat apabila peserta membantu keluarga yang membawa anak kecil, memberikan laluan kepada penumpang lain dan menyambut orang yang tidak dikenali dengan senyuman.

Ia juga hadir apabila masyarakat di setiap negeri tidak sekadar menunggu Keretapi Sarong datang kepada mereka, tetapi mengambil tanggungjawab untuk membentuk sambutan itu mengikut wajah, suara dan identiti tempat mereka sendiri.

Sepanjang sedekad lalu, LOCCO menyaksikan Keretapi Sarong berkembang daripada sebuah pertemuan budaya di Lembah Klang kepada gerakan yang kini dibawa pulang oleh rakyat ke bandar dan komuniti masing-masing.

LOCCO mungkin memulakan perjalanan ini. Namun, Hari Malaysia ini, Keretapi Sarong tahun ke-10 tidak lagi menjadi milik LOCCO semata-mata.

Ia telah menjadi milik Malaysia.

Sepuluh tempat, sepuluh tafsiran kebersamaan

Pada 16 September 2026, semangat Keretapi Sarong bergerak serentak di Lembah Klang, George Town, Sungai Petani, Kuantan, Padang Besar, Ipoh, Johor Bahru, Kota Bharu, Melaka dan Langkawi.

Setiap lokasi diberikan kebebasan untuk menterjemahkan semangat yang sama melalui identiti tempatan.

Di George Town, perjalanan tidak berakhir di stesen. Peserta bergerak dari Butterworth sebelum menyeberangi Selat Pulau Pinang dengan feri menuju Penang Ferry Museum di Weld Quay.

Di Sungai Petani, semangat Hari Malaysia dibawa menerusi Larian Muzik Sarong dan perarakan Jalur Gemilang di Dataran Zero.

Di Kuantan, komuniti Pantai Timur berkumpul di Seruntum Square sebelum meneruskan kemeriahan ke Teluk Cempedak.

Di Ipoh, halaman Stesen Keretapi Ipoh dihidupkan dengan joget lambak dan perjalanan menyusuri warisan bandar.

Johor Bahru pula menghubungkan Kulai dan JB Sentral melalui perjalanan khas KTMB sebelum peserta berarak melalui Jalan Segget menuju kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Di Kota Bharu, seni dan budaya Kelantan mengambil tempat di Stesen KTM Wakaf Bharu serta Dataran Kota Bharu.

Melaka menjadikan khazanah sejarahnya sebagai latar perjalanan apabila masyarakat Baba Nyonya, Chetti, Portugis dan komuniti lain bergerak bersama melalui kawasan warisan bandar.

Langkawi, walaupun tanpa landasan kereta api, membuktikan bahawa Keretapi Sarong tidak pernah bergantung pada rel untuk bergerak. Di pesisir Pantai Chenang, semangatnya dibawa oleh manusia.

Apabila sebuah bandar kecil membawa semangat besar

Penyertaan sulung Padang Besar menjadi antara detik paling bermakna pada tahun ini.

Terletak di sempadan utara negara, bandar itu menyatukan persatuan budaya, kumpulan seni mempertahankan diri, masyarakat bahasa dan pelbagai pertubuhan setempat dalam satu sambutan bersama.

Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, menyifatkan sambutan berkenaan sebagai satu kejayaan membanggakan meskipun julung kali dianjurkan di negeri itu.

“Program ini sangat berjaya walaupun merupakan kali pertama ia dianjurkan di Perlis. Sambutan diterima cukup baik termasuk daripada badan bukan kerajaan. Perlis merupakan kali pertama dan saya bersyukur kerana program ini berlangsung di negeri ini.”

Kisah Padang Besar menunjukkan bahawa kekuatan Keretapi Sarong bukan ditentukan oleh saiz sesebuah bandar.

Kekuatannya terletak pada kesediaan masyarakat untuk hadir, bekerjasama dan memberikan jiwa kepada sambutan itu.

Budaya kembali ke tengah kehidupan

Bagi Pengasas Bersama LOCCO, Shamsul Bahrine Zainuzzaman, Keretapi Sarong sentiasa membawa makna yang lebih mendalam daripada busana atau kemeriahan persembahan.

“Bagi saya, Keretapi Sarong bukan sekadar sebuah acara dalam kalendar LOCCO. Ia ialah sesuatu yang kami pelihara, besarkan dan pertahankan dengan sepenuh hati.”

“Kami mahu membawa budaya keluar daripada ruang pameran dan mengembalikannya ke tengah-tengah kehidupan rakyat. Perkara paling penting bukanlah apa yang kita pakai, tetapi siapa yang berdiri di sebelah kita – mungkin seseorang yang berbeza kaum, bahasa, kepercayaan, negeri atau latar kehidupan, tetapi tetap berkongsi tanah air yang sama.”

Di situlah penghayatan sebenar Keretapi Sarong berlaku.

Tradisi tidak lagi sekadar dipamerkan. Tradisi menaiki tren, menyeberangi laut, berjalan di tengah kota dan berkenalan dengan generasi baharu.

Ruang awam pula tidak hanya menjadi tempat untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain. Ia menjadi tempat rakyat membina hubungan dan mencipta kenangan bersama.

Ruang yang lebih selesa untuk wanita

Di Lembah Klang, LOCCO turut memperkenalkan Stesen Wanita di MRT Titiwangsa sebagai lokasi permulaan khusus untuk peserta wanita.

Inisiatif itu menawarkan ruang permulaan yang lebih selesa, khususnya kepada wanita yang hadir bersendirian, ibu bersama anak kecil dan peserta warga emas.

Pengenalannya mencerminkan usaha LOCCO untuk membentuk sebuah sambutan yang bukan sahaja meriah, tetapi lebih peka terhadap keselesaan, keyakinan dan keperluan peserta.

Keselamatan tetap didahulukan

Semangat kebersamaan juga bererti mengetahui bila sesuatu keputusan perlu dibuat demi kepentingan bersama.

Penganjuran Keretapi Sarong di Kuching, yang dirancang melibatkan 25 perahu tambang di Sungai Sarawak, telah dijadualkan semula ke Disember berikutan keadaan jerebu rentas sempadan.

Keputusan itu menegaskan pendirian LOCCO bahawa keselamatan dan kesihatan peserta sentiasa mengatasi jadual serta kemeriahan acara.

Kuching tidak diketepikan daripada perjalanan Keretapi Sarong. Sambutannya hanya ditangguhkan supaya dapat berlangsung dalam keadaan yang lebih selamat dan bermakna.

Angka yang membawa satu cerita lebih besar

Di sebalik semua kisah itu, pengumpulan data bersama penggerak tempatan merekodkan penyertaan keseluruhan seramai 216 komuniti tempatan juga terlibat seluruh negara.

Lebih penting, hampir tiga perempat daripada penyertaan itu berlangsung di luar Lembah Klang.

Angka tersebut bukan ukuran tunggal kejayaan. Namun, ia menunjukkan bahawa rakyat di seluruh negara mahu terlibat secara langsung dalam membentuk cara Hari Malaysia diraikan.

Kejayaan sebenar berlaku apabila sebuah komuniti berasa yakin untuk berkata: “Ini juga Keretapi Sarong kami.”

Membawa semangat ini ke dekad seterusnya

Memasuki dekad kedua, LOCCO mahu Keretapi Sarong terus berkembang sebagai gerakan budaya yang dipimpin oleh komuniti, disokong teknologi dan berteraskan keselamatan serta keterangkuman.

Antara langkah yang sedang diteroka ialah perbincangan awal untuk memperluas kapasiti lokasi utama pada 2027, pelaksanaan sambutan Kuching pada Disember serta pengembangan kerjasama digital bersama GRAK.

Namun, masa depan Keretapi Sarong tidak hanya bergantung pada pentas yang lebih besar, lokasi yang lebih banyak atau jumlah peserta yang lebih tinggi.

Masa depannya bergantung pada sama ada kita masih mahu menyediakan ruang untuk mengenali satu sama lain.

Pada Hari Malaysia, kita bermula dari bandar, stesen dan perjalanan yang berbeza.

Namun, akhirnya kita memilih untuk berdiri di ruang yang sama.

Itulah semangat Sayang Malaysia.

Bukan sekadar mencintai negara sebagai sebuah tempat, tetapi menyayangi manusia yang menjadikan Malaysia sebuah tanah air.

Keretapi Sarong mungkin bermula di Lembah Klang. Namun, perjalanannya kini diteruskan oleh seluruh Malaysia./LOCCO

Facebook
Twitter
WhatsApp