Pameran seni antarabangsa “Monsters & Myths: From Japan’s 47 Prefectures” atau turut dikenali sebagai Yokai Tales, kini rasmi dibuka di Sky Garden, Menara Kuala Lumpur pada 4 September lalu, membawa bersama koleksi makhluk mitos dan legenda rakyat Jepun ke tanah air menerusi tafsiran seniman-seniman kontemporari terkemuka.
Majlis perasmian pameran tersebut disempurnakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang turut menyampaikan ucapan merasmikan acara anjuran Trading Card Kuala Lumpur (TCGKL) itu.

“Hari ini, kita bukan sekadar menghadiri sebuah pameran seni. Kita sedang membina jambatan budaya antara dua tempat, dari Jepun ke Malaysia … jambatan yang menghubungkan kita untuk menghargai dan meneroka pelbagai bentuk seni daripada kekayaan cerita rakyat, mitologi, imaginasi dan warisan artistik Jepun,” katanya dalam teks ucapan rasmi majlis tersebut.
“Tradisi beri kita akar, kreativiti beri kita sayap”
Dalam ucapannya, Ismail Sabri turut menjelaskan bagaimana Jepun mempunyai keunikan tersendiri dalam mengekalkan warisan tradisi sambil terus mengolahnya agar kekal relevan buat generasi masa kini … sesuatu yang turut tercermin menerusi pameran ini, di mana kisah-kisah tradisional yokai diterjemahkan menerusi pelbagai bentuk seni, daripada karya tanah liat dan cat air, sehinggalah karya seni kontemporari.
“Sesungguhnya, tradisi memberikan kita akar, manakala kreativiti memberikan kita sayap untuk membawa warisan tersebut ke masa hadapan,” ujar Ismail Sabri.
Beliau turut menyatakan rasa besar hati kerana pameran ini menampilkan tiga ilustrator terkemuka dunia – Kagemaru Himeno, Kouki Saitou dan Yuka Morii – sambil berharap pameran ini terus menjadi jambatan yang menghubungkan warisan budaya, seni dan kreativiti merentasi generasi.
Menurut Ismail Sabri lagi, industri kreatif bukan sekadar soal hiburan semata-mata, tetapi turut membabitkan idea, identiti, budaya dan hubungan sesama manusia. Beliau turut menyeru agar warisan budaya Malaysia sendiri seperti kisah Puteri Gunung Ledang dan Hikayat Hang Tuah turut diberi peluang dihidupkan semula menerusi ilustrasi, animasi, permainan, filem dan pelbagai platform kreatif lain, supaya generasi muda turut berpeluang memelihara sekali gus memberi nafas baharu kepada warisan negara.
47 wilayah, 47 kisah makhluk mitos
Menurut laporan Malay Mail, pameran ini dilihat sebagai jambatan budaya yang membolehkan masyarakat Malaysia mengenali Jepun menerusi sudut pandang berbeza … bukan sekadar pencapaian moden negara itu, tetapi turut menerusi imaginasi, tradisi dan cerita rakyatnya.

Selain pameran utama, Yokai Tales turut menawarkan pelbagai program awam termasuk sesi lakaran dan tandatangan bersama artis, sesi lukisan dan pengukiran secara langsung, cenderahati eksklusif acara, showcase karya seni, serta lelongan karya seni secara langsung … direka khusus buat peminat seni, keluarga, pelajar, kolektor, peminat budaya Jepun dan sesiapa sahaja yang berminat mendalami kisah di sebalik makhluk mitos Jepun.
Menurut portal TVS pula, pameran Yokai Tales turut menampilkan karya asli dalam bentuk arca tanah liat, cat air dan lukisan, yang menginterpretasikan yokai daripada kesemua 47 wilayah di Jepun, menggabungkan mitologi tradisional dengan pendekatan seni kontemporari ketiga-tiga ilustrator terbabit.
Pameran Yokai Tales: Monsters & Myths from Japan’s 47 Prefectures berlangsung dari 4 hingga 30 September di Menara Kuala Lumpur.
LOCCO: Bila legenda Jepun dan warisan Malaysia bertemu di satu ruang
Bagi LOCCO, pameran seperti Yokai Tales bukan sekadar peluang menyaksikan seni luar biasa dari Jepun, tetapi turut menjadi cerminan dan galakan buat kita sendiri untuk melihat semula khazanah cerita rakyat dan legenda tempatan dengan mata baharu.
Seperti yang diingatkan Ismail Sabri sendiri, Malaysia turut kaya dengan kisah warisan seperti Puteri Gunung Ledang dan Hikayat Hang Tuah … cerita yang sepatutnya turut mendapat ruang untuk dihidupkan semula menerusi ilustrasi, animasi mahupun platform kreatif moden, bukan sekadar kekal tersimpan dalam buku sejarah.
Lebih daripada itu, pameran ini turut membuktikan bahawa seni dan kreativiti adalah bahasa sejagat yang mampu mengeratkan hubungan dua negara jauh lebih mendalam berbanding sekadar kerjasama diplomatik atau perniagaan semata-mata. LOCCO percaya, semakin banyak platform sebegini wujud di Malaysia, semakin besar peluang generasi muda kita turut terinspirasi untuk meneroka potensi kreatif sendiri … dan siapa tahu, mencipta legenda versi mereka sendiri buat dunia suatu hari nanti./LOCCO
Sumber: Teks ucapan rasmi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Malay Mail, TVS



